Banjir: Perkembangan terkini di Johor  
Gambar taburan hujan di seluruh negeri ini bagi 5 Disember. Sumber http://infobanjir.water.gov.my


SENAI – Sehingga jam 8 pagi tadi, mangsa banjir di negeri Johor meningkat kepada 9,233 mangsa daripada 1,532 keluarga berbanding 8,705 mangsa yang dilaporkan setakat jam 7 petang, semalam.

Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor, Siti Zubaidah Abu Bakar berkata, walaupun bilangan mangsa meningkat keadaan banjir dilaporkan semakin pulih apabila 12 pusat pemindahan ditutup sejak awal pagi ini.

“Setakat jam 8 pagi tadi hanya tujuh daerah dilaporkan masih dalam keadaan banjir berbanding lapan daerah semalam.

“Daerah yang tidak terjejas termasuk Kulaijaya, Johor Bahru dan Ledang manakala Mersing mencatat bilangan mangsa tertinggi dengan jumlah 5,716 mangsa namun angka yang direkod mula berkurangan.

“Sehingga jam 12 tengahari ini kita jangkakan bilangan mangsa banjir akan mula berkurangan susulan keadaan banjir yang semakin pulih,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohd Khairi Yakub berkata, setakat ini tiada laporan wabak berkaitan banjir dilaporkan berlaku manakala bekalan ubat kepada pesakit mangsa banjir masih terkawal.

“Setakat ini tiada hodpital yang ditutup membabitkan kawasan-kawasan banjir di negeri ini, bekalan ubat kepada mangsa banjir juga dapat dibekalkan dengan terkawal,” katanya.