Jumaat, 6 Disember 2013

Banjir: PAS gesa kerajaan isytihar ‘kawasan bencana’


Tuan Guru Abdul Hadi mengharungi banjir melawat mangsa di Kemaman, petang semalam.


Tuan Guru Abdul Hadi menaiki bot meninjau kawasan banjir di Kemaman, petang semalam.


KUALA LUMPUR: PAS menyeru kepada pihak kerajaan agar dapat mengisytiharkan kawasan di Kuantan, Pahang dan daerah Kemaman, Terengganu sekarang ini sebagai ‘Kawasan Bencana’ akibat dilanda banjir yang terburuk dalam sejarah negeri berkenaan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pengisytiharan sebagai kawasan bencana ini adalah perlu kerana ianya akan membolehkan proses menyelamatkan nyawa penduduk dan penghantaran bekalan makanan, pakaian, air bersir terutamanya dapat dilakukan dengan kadar yang sangat segera tanpa kerenah birokrasi, dan bencana banjir ini diangkat sebagai perkara-perkara yang sangat perlu disegerakan penyelesaiannya di peringkat nasional.

Menruutnya, realiti yang berlaku sejak dua hari lalu ialah kelambatan dan kekurangan kelengkapan untuk menyelamatkan nyawa penduduk yang dilanda bencana ini, sehingga menyebabkan ada petugas agensi kerajaan yang terlibat juga menyuarakan kekecewaan mereka terhadap kelambatan bantuan selain dari diremehkan oleh pihak atasan mereka.

Tegasnya, bencana banjir ini tidak mengenal parti politik, usia dan status dalam masyarakat.

“Hati saya sungguh tersentuh melihat anak-anak kecil yang menangis kelaparan, ibu yang memandang dengan hampa, mangsa yang menggigil kesejukan tanpa pakaian dan selimut dan sebagainya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, ujar beliau pihak PAS menerusi berbagai jenteranya telah dikerah untuk membantu dengan sepenuh tenaga, walaupun berdepan dengan berbagai kekurangan tetapi keperluan asas adalah masih sangat tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk yang dilanda musibah ini.

Katanya, ketiadaan bekalan air bersih ini akan menyebabkan wabak lain yang melanda sebaik sahaja air mula surut nanti.

Sehubungan dengan itu, kata beliau PAS menyeru kepada pihak kerajaan yang mempunyai dana khusus ini supaya dapat lebih proaktif dan segera bertindak bagi membantu rakyat kita yang dilanda bencana ini.

Tiada ulasan: