Isnin, 9 Disember 2013

Banjir: Harakah, Angkatan Edaran hantar misi bantuan

SAIDAH HAIRAN 


SHAH ALAM: Harakah dengan kerjasama Angkatan Edaran dan PAS Cawangan Shah Alam Seksyen 28 dan Seksyen 4 meneruskan misi menghantar bantuan barangan makanan dan pakaian kepada mangsa banjir di Pahang dan Terengganu.

Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, sumbangan makanan dan pakaian itu akan dihantar kepada mangsa banjir melalui Lajnah Kebajikan negeri Pahang dan Terengganu.

Katanya, Harakah akan berterusan mengawai perkembangan banjir yang melanda negeri Terengganu dan Pahang serta cuba memberi bantuan bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa banjir.

"Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada PAS Shah Alam dan Angkatan Edaran yang turut bersama-sama dalam usaha membantu meringankan bebanan mangsa banjir," katanya ketika ditemui di ruang lobi kilang Angkatan Edaran, Shah Alam.

Dua buah lori muatan 5 tan telah berlepas jam 11 pagi tadi membawa barang-barang makanan diiringi tiga buah kereta dan empat pacuan empat roda.

Sementara itu, Pengurus Angkatan Edaran, Azlan Jan memaklumkan barangan yang dihantar beras; air mineral; biskut; gula; teh; lampin. pakaian terpakai hasil sumbangan jemaah surau seksyen 4, Shah Alam.

Beliau yang juga Ketua PAS Cawangan sekyen 18, Shah Alam berkata, sumbangan tersebut dilakukan atas kesungguhan dan keprihatinan ahli PAS cawangan melihat kesusahan yang ditanggung oleh mangsa banjir.

Menurut beliau, wang tunai juga dibawa untuk diberi kepada mangsa-mangsa banjir yang mungkin tidak berpindah ke penempatan sementara serta tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.

"Angkatan Edaran telah menghulurkan bantuan sejak mula mangsa ditimpa banjir dan kita akan melakukan bantuan kepada mangsa secara berterusan," katanya.

Tiada ulasan: