Anwar Ibrahim  
Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR


KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar menteri Kabinet supaya tidak bersikap sombong dengan kuasa yang ada pada mereka.

Menurut Anwar, sejak kebelakangan ini menteri Kabinet seolah-olah menunjukkan kesombongan dengan kuasa yang ada pada mereka dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan yang merendahkan intelektual rakyat.

"Menteri jangan ada sikap "arrogant of the power" .

"Setiap kenyataan yang dikeluarkan jangan merendahkan daya intelek rakyat, terbaru kenyataan Datuk Seri Wahid yang mengatakan bahawa sekiranya rakyat tidak mahu membayar tol jangan guna lebuh raya sebaliknya guna jalan biasa adalah sangat tidak wajar.

"Jangan sombong dengan kuasa yang ada pada kamu, jangan hina rakyat, sebab kami juga ada perasaan," katanya  ketika majlis pelancaran kempen Faham GST - Tolak GST di Kelab Sulaiman, di sini, malam tadi.

Menyentuh hal yang sama, Anwar menegaskan pihak kerajaan boleh menyekat kenaikan tol dengan menyemak semula perjanjian dengan syarikat konsesi.

"Kerajaan boleh semak semula perjanjian kerana ada klausa-klausa tertentu. Kalau ada yang berat sebelah, kerajaan boleh teliti balik.

"Sebab itu, kalau alasan kerajaan yang mengatakan bahawa perjanjian itu perlu disemak semula selepas tiga tahun, dan harga tol perlu dinaikkan juga sebab terkandung dalam perjanjian tersebut saya tidak setuju.

"...kerana semasa saya menjadi Menteri Kewangan, perjanjian itu boleh disemak semula sekiranya bersifat berat sebelah, oleh itu baca keseluruhan perjanjian itu, bukan separuh-separuh," katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta beberapa lagi ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lain.

Hampir 500 hadirin menghadiri majlis perlancaran tersebut.