Selasa, 17 Disember 2013

Anwar : Jakim jangan jadi boneka BN

SELANGOR KINI


KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) tidak seharusnya menjadi boneka untuk menjatuhkan musuh politik Barisan Nasional (BN), kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

anwar white

Kata Anwar, Jakim jangan hanya berretorik atas tuduhan Syiah kepada Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu.

“Dalam perundangan Islam pun sudah termaktub yang menuduh harus kemukakan bukti kemudian barulah dituduh membela diri,” kata Anwar kepada media selepas melancarkan buku “Spirit of Merdeka” di Hotel Empire, Subang Jaya semalam.

“Jadi biarlah beliau diberi ruang dan peluang,” kata Anwar, lapor The Malaysian Insider.

Katanya Mohamad perlu diberi peluang membela dirinya diatas tuduhan menganut fahaman Syiah semata-mata kerana kagum dengan Ayatollah Khomeini.

Susulan ‘pendedahan 10 bukti’ Kementerian Dalam Negeri (KDN) Mohamad terlibat dengan fahaman Syiah, Jakim pula menggesa pemimpin Pas itu mengemukakan bukti.

“Saya ingin bertanya kepada pegawai Jakim adakah beliau mengikut arahan dari Naib Presiden Umno atau berdasarkan undang-undang Islam?

“Kerana sebelum ini ada kes yang saya bawa di Mahkamah Syariah Jakim tidak pernah menolong, Jakim perlu tetapkan pendirian dulu,” kata Anwar.

Beliau mengatakan pernah melawat Imam Khomeini awal tahun 1980 atas kapasitinya selaku Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Anwar melancarkan buku ‘Spirit of Merdeka’ di Hotel Empire, Subang Jaya semalam.

“Saya merupakan rombongan kedua ke Tehran selepas Revolusi di Iran untuk bertemu dengan Khomeini.

“Adakah ini juga bermaksud saya turut mengamalkan fahaman Syiah? Saya pergi pada tahun 1980 kerana diundang dan semasa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri tiada orang dakwa saya pula?” soalnya.

Anwar pada masa sama turut menggesa untuk tidak terus menggunakan Syiah sebagai isu politik.

“Mereka kata sudah kumpul bukti maka kalau dah ada sudah sah buktinya terus saja dakwa kenapa perlu berdolak-dalih orang tertuduh pula kena kemukakan bukti sistem apa ini?” soal Anwar.

Tambahnya, kenyataan KDN mengatakan mempunyai bukti ‘gred A’ merupakan sesuatu yang tidak berasas apabila kerajaan sekali lagi gagal mengemukakan bukti kukuh.

“Ini yang saya tidak faham apa dia gred A, gred B ini? Kita tidak tahu dulu tidak ada. Bulan lepas tidak dengar pula.

“Alih-alih ada gred A. Kalau betul kementerian mempunyai gred sedemikian, jelaskan kepada rakyat apa yang dikatakan,” katanya- KEADILAN DAILY

Tiada ulasan: