Khamis, 12 Disember 2013

Ancaman banjir, PBT Selangor bersiap sedia

Oleh : NAEEM RAFFI


SHAH ALAM: Semua 12 Pihak Berkuasa Tempat (PBT) Selangor sudah diarah bersiap-siaga dan bersedia bagi menghadapi ancaman banjir.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata pihak Pejabat Daerah juga sudah mempersiapkan tempat penempatan sementara jika perlu.

teng chang kim

“Ini adalah bukti komitmen tinggi daripada kerajaan negeri bersama PBT untuk membantu agensi keselamatan lain dalam mengendalikan kes kecemasan dan bencana,”katanya.

Chang Khim berkata, kerajaan negeri lebih bersedia dengan program pencegahan banjir yang sudah dilaksanakan PBT dan kerja pencegahan juga berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan, sekali gus membuktikan kesungguhan PBT.

“PBT sudah melaksanakan pelbagai program pencegahan banjir seperti mendalamkan saliran dan kolam tadahan banjir. Parit dan longkang juga dibersihkan daripada halangan bagi memastikan aliran air lancar” katanya.

Serentak dengan itu, Skuad Pasukan Tindakan Segera Negeri Selangor (PANTAS) sentiasa dalam keadaan aktif untuk respon kepada aduan kecemasan.

“Skuad ini akan memainkan peranannya apabila dikerah untuk kerja kecemasan termasuk banjir. PANTAS ditubuhkan untuk memberi khidmat sokongan logistik, kepakaran dan kebajikan membantu operasi keselamatan polis, bomba serta agensi berwajib.-NFN-

Tiada ulasan: