Sabtu, 21 Disember 2013

Anak Muda Generasi Bankrap C

Oleh Haris Zuan

bankrap


AKU mula mendengar istilah bankruptcy ini sekitar tahun 1998/1999, bukan kerana sebelum itu tidak ada manusia pernah bankrap di negara ini tetapi kerana sebelum itu aku belum cukup akal untuk ambil tahu dan keduanya barangkali ketika 1998/1999 ini ramai pula yang bankrap akibat kegawatan ekonomi, khasnya ‘berniagawan’ Bumiputera yang hanya bergantung kepada kontrak kelas F kerajaan dan makan atas angin.

Malah, kerana jarangnya aku mendengar istilah bankruptcy ini, aku dengan penuh naifnya berkata;
“Kesianya jatuh bankrap C, kalau bankrap B atau A tu oklah lagi..” Agaknya pada ketika itu aku fikirkan bankrap ini seperti markah peperiksaan – tapi senaif-naif aku pun setidaknya aku tidak terfikir untuk mengklasifikasikan bukti mengikut gred A dan B.

Kini suasananya cukup berbeza, ramai sungguh manusia bankrap di negara ini. Malah Husin dalam Hantu Kak Limah 2 pun bankrap juga sebab masuk skim cepat kaya di Singapura. Yes Sekupang pun bankrap. Tapi ini bukan hanya dalam filem, tahun lepas sahaja (2012) sahaja, menurut Jabatan Insolvensi (jabatan yang menguruskan orang bankrap dan ada masalah hutang) terdapat 19,575 orang diisytiharkan muflis aka bankrap kerana kegagalan menguruskan hutang.

Malah, dalam jawapan bertulis beliau kepada Dewan Negara baru-baru ini, Najib Razak menyatakan sebanyak 68,299 orang daripada 129,640 yang diisytiharkan muflis sejak 2005 hingga 2012 adalah individu berusia di bawah 45 tahun.

Malah semakan mendapati 70% daripada mangsa bankrap pada 2012 ini adalah lelaki dan kepada mereka yang sentiasa teruja untuk mengetahui sama ada mereka ini Melayu atau Cina, berikut adalah pecahanan rasmi daripada Jabatan Insolvensi: hampir separuh (48.41%) adalah Melayu, 33.15% Cina, 14.12% India, dan sebelebihnya (4.32%) daripada lain-lain keturunan.

Tetapi yang lebih mengejutkan adalah kebanyakan mereka yang bankrap ini (57%) terdiri daripada mereka yang berumur antara 25 hingga 44 tahun. Malah terdapat 130 anak muda berumur bawah 25 tahun yang jatuh bankrap.

Persoalannya kini mengapa ramai orang muda jatuh bankrap? Ramai yang beranggapan kebanyakan anak muda muflis kerana ketamakan gaya hidup serta keinginan untuk bergaya sehingga menggunakan kad kredit (kad hutang) secara berlebihan.

Namun kad kredit hanya menyumbang 4.18% sahaja kepada punca muflis untuk tempoh 2007-2013 (sehingga November). Umumnya ramai yang bankrap kerana hutang kereta dan rumah yang masing-
masing membentuk 26.41% dan 17.6%. Manakala selebihnya kerana pinjaman peribadi (12.39%).

Tidak sedikit juga yang mencemuh anak muda yang tidak sedar diri mahu pakai kereta ‘mahal’ (import) sedangkan gaji kecil. Kebanyakan mereka yang memakai kereta bersaiz sederhana seperti Honda City dan Toyota Vios bukan semata-mata kerana gaya tetapi juga keselamatan serta keselesaan. Mereka ini rata-ratanya adalah golongan eksekutif muda yang aktif bergerak.

Manakala bagi golongan yang lebih rendah pula mereka menggunakan kereta tempatan bertaraf nasional seperti Proton Saga BML dan Myvi. Kebanyakan mereka bukanlah benar-benar mampu untuk membelanjakan 30% daripada pendapatan bulanan untuk kereta (tidak termasuk petrol dan penyelenggaraan lain), namun kerana terpaksa.

Di Malaysia kadar kemalangan tertinggi membabitkan motosikal. Kebanyakannya adalah anak muda yang tiada pilihan harus menyabung nyawa menaiki motosikal setiap hari untuk ke tempat kerja.

Pilihan yang ada hanya dua – berdepan risiko mati katak di jalan raya atau hidup tertekan akibat hutang kereta dan berdepan kemungkinan diisytihar muflis.

Di Malaysia yang aman damai ini, membeli kereta adalah perkara mewah kerana kadar cukai yang dikenakan adalah antara yang paling tinggi di dunia.

Di Filipina yang kita anggap jauh lebih mundur daripada Malaysia, sebagai contoh , Suzuki Swift umumnya adalah kegunaan anak-anak universiti (setara dengan Kancil di sini). Manakala di Indonesia yang kita anggap melarat, menjadikan Toyota Vios sekadar teksi sahaja.

Kemudian mereka yang tidak berkenderaan juga akan dihukum dengan sistem pengangkutan awam yang maha lemah. Jangan hanya lihat Kuala Lumpur, bayangkan juga Ipoh, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuantan. Hampir mustahil untuk bekerja dengan hanya bergantung kepada pengangkutan awam, khasnya mereka yang harus aktif bergerak.

Maka hutang menjadi sebahagian daripada rutin hidup yang tidak terelakan – sama seperti nasi.
Malah, oleh kerana hutang menjadi sebahagian daripada nilai manusia moden di negara ini, kita akan dihukum jika tidak mempunyai sebarang hutang.

Aku yang tidak pernah berhutang sebelum ini telah beberapa kali dinafikan bank untuk memohon pinjaman perumahan dengan alasan rekod kredit anda terlalu bersih! Tidak berhutang juga salah!

Maka sesungguhnya kita telah sampai pada suatu generasi di mana keberadaan kita dalam masyarakat ditentukan sebanyak mana kita mampu berhutang. Selamat membayar hutang. – Roketkini.com

Tiada ulasan: