Ahmad Said  
Bukti.. Ahmad menunjukkan surat daripada Pengurus Pemasaran Kanan Gardenia, Haslinah Harun yang menyatakan pihak Gardenia enggan menerima bayaran sebaliknya berbesar hati kerana berpeluang membantu mangsa banjir di saat memerlukan.
 
 
KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kesal digelar sebagai Robin Hood berikutan tindakannya menahan dua buah lori yang membawa roti Gardenia untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang terperangkap di Chendor, Pahang, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau agak kecewa kerana niat murninya untuk membantu mangsa banjir yang terperangkap dan kelaparan yang ditemuinya dalam perjalanan pulang ke Kemaman dari Kuala Lumpur itu, menerima maklum balas berunsur negatif di laman blog dan laman Facebook.

“Saya bukan Robin Hood. Dia (Robin Hood) merompak orang kaya dengan niat untuk membantu orang miskin. Tetapi dalam hal ini saya tidak merompak, sebaliknya saya menawarkan untuk membayar harga keseluruhan roti yang diagih kepada mangsa banjir itu.

“Yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar, jadi tak perlulah umpamakan saya seperti Robin Hood,” katanya.

Ahmad turut menafikan dakwaan mengatakan beliau memaksa pemandu lori itu membuka pintu lori dan memberitahu beliau turut menyimpan gambar yang diambil pada 4 Disember itu sebagai bukti.

“Bayangkanlah, ramai yang datang kepada saya dan beritahu anak mereka menangis kelaparan akibat terkandas setelah laluan Kemaman-Kuantan ditutup akibat dinaiki air.

“Pada mulanya, pemandu itu enggan membuka lori, tetapi bila saya menghubungi pengurusnya dan memberitahu sedia membayar harga kesemua roti itu, barulah pemandu itu berani membuka lori itu,” katanya.

Ahmad berkata, beliau turut menghubungi pegawai berkenaan untuk mendapatkan invois, bagaimanapun, pihak pengurusan Gardenia enggan menerima sebarang bayaran sebaliknya mereka amat berbesar hati kerana dapat membantu mangsa banjir ketika keadaan benar-benar memerlukan.

“Surat daripada Pengurus Pemasaran Kanan Gardenia, Haslinah Harun antara lain menyebut bahawa pihaknya amat berbesar hati kerana dapat membantu mangsa banjir dan berterima kasih kepada Menteri Besar dan berbangga kerana diberi peluang berbuat demikian dalam keadaan memerlukan,” katanya.

Bukti.. Ahmad menunjukkan surat daripada Pengurus Pemasaran Kanan Gardenia, Haslinah Harun yang menyatakan pihak Gardenia enggan menerima bayaran sebaliknya berbesar hati kerana berpeluang membantu mangsa banjir di saat memerlukan.