Ahad, 8 Disember 2013

ADUN DAP Mentakab turun padang beri bantuan, santuni mangsa banjir


IMG-20131206-WA002
 
 
MENTAKAB: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Mentakab, Tengku Zulpuri Shah hari ini turun padang memberi bantuan kepada penduduk Kampung Bintang melibatkan 30 buah rumah yang terputus hubungan akibat banjir.

Menurut beliau, jalan raya yang menghubungkan kampung yang terletak di seberang Sungai Temerloh itu telah dinaiki airsehingga menyebabkan penduduk yang mahu keluar terpaksa melalui jalan tikus yang mengambil masa kira-kira satu jam berjalan kaki.

“Pejabat ADUN Mentakab sangat prihatin terhadap kesulitan yang berlaku dan cuba seberapa daya mungkin untuk meringankan beban penduduk kampung ini,” kata beliau ketika dihubungi Roketkini.

Tengku Zulpuri berkata, sehingga kini tidak ada laporan kehilangan nyawa yang berlaku dan sebahagian kampung berdekatan yang dinaiki air pula seperti Kampung Gantok dan Kampung Tok Embun telah pun di pindahkan ke pusat pemindahan banjir.

“Penduduk kampung mangsa banjir ini memerlukan bantuan.

“Kita amat mengalu-alukan sebarang sumbangan barangan keperluan mahupun kewangan bagi meringankan beban mereka,” ujarnya.

Bagi yang mahu memberi sebarang sumbangan boleh menghubungi Pejabat ADUN Mentakab di talian 019-3296564. – Roketkini.com

Tiada ulasan: