Dua juruterbang dan enam pekerja pelantar minyak terselamat selepas helikopter yang dinaiki mereka terpaksa membuat pendaratan cemas di tengah laut berikutan cuaca buruk berdekatan pesisir pantai Bintulu hari ini.
  
Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu DSP Mohd Said Ibrahim berkata ketika kejadian helikopter jenis Sikorsky S-76 yang disewa sebuah syarikat petroleum sedang meninjau lokasi penggalian minyak dan gas di kawasan perairan terbabit.
  
"Helikopter dipandu dua rakyat tempatan itu sedang melakukan tinjau lokasi untuk menggali minyak dan gas. Bagaimanapun akibat cuaca buruk pendaratan cemas terpaksa dilakukan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
  
Mohd Said berkata kesemua mangsa bernasib baik diselamatkan sebuah kapal yang kebetulan berada di kawasan berkenaan sebelum dibawa ke hospital berhampiran.
  
Semua mangsa tidak mengalami kecederaan serius, dan kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di Miri, katanya.- Bernama