Ahad, 25 Oktober 2009

Tarif kebanyakan barang diniaga Asean, China dihapus 2010

BERNAMA


HUA HIN (Thailand): Tarif ke atas kebanyakan barangan yang diniagakan antara Asean dan China akan dihapuskan menjelang 2010, demikian kata satu kenyataan yang dikeluarkan selepas Sidang Kemuncak Asean-China Ke-12, di sini, semalam.

Pemimpin yang menghadiri persidangan itu berkata pemeteraian Perjanjian Pelaburan Asean-China baru-baru ini menjadi mercu tanda di dalam hubungan kumpulan serantau itu dengan China.

Persidangan itu juga akur bahawa perdagangan dua hala meningkat lebih tiga kali sejak enam tahun lepas daripada AS$60 bilion kepada AS$192 bilion pada 2008.

Mereka menyeru kedua-dua pihak supaya menggunakan sepenuhnya Perjanjian Perdagangan Bebas Asean dan China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah antara 10 pemimpin Asean yang menghadiri sidang kemuncak itu yang turut dihadiri Perdana Menteri China, Wen Jiabao.

Kedua-dua pihak juga bersetuju mengenai keperluan untuk mempromosikan pengetahuan dan kesedaran mengenai FTA itu, khususnya di kalangan sektor swasta serta latihan.

Wen memberitahu rakan sejawatannya bahawa China akan menganjurkan satu forum mengenai FTA China-Asean untuk membangunkan portal perniagaan dan juga mewujudkan zon kerjasama ekonomi di negara anggota Asean dan menggalakkan syarikat China melabur di sana.

Sebagai tambahan, kedua-dua pihak perlu juga menggalakkan kerjasama di dalam melindungi hak harta intelek, penghapusan sekatan perdagangan dan mewujudkan satu sistem yang disatukan bagi sanitari dan 'phytosanitary.'

Asean juga menyambut baik insiatif China untuk mewujudkan satu Dana Kerjasama Pelaburan China-Asean AS$10 bilion dan Kredit Komersial AS$15 bilion untuk menyokong pembangunan infrastuktur.

Tiada ulasan: