Sabtu, 3 Oktober 2009

Tabung Haji buat persiapan rapi, hadapi penularan H1N1

UTUSAN ONLINE


ALOR SETAR - Kerajaan puas hati dengan persiapan Lembaga Tabung Haji menguruskan keperluan bakal haji Malaysia tahun ini termasuk persediaan paramedik dalam menghadapi kemungkinan penularan wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom berkata, persediaan rapi itu dibuat berikutan perkembangan penularan wabak berkenaan pada masa ini.

"Jumlah paramedik kekal seperti tahun lalu tetapi tumpuan juga diambil kira dengan jemaah haji diwajibkan mengambil vaksin influenza bagi mencegah mereka daripada diserang demam selesema serta terdedah pada jangkitan influenza A (H1N1)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang anjuran bekas penuntut Maktab Mahmud tahun 50-an dan 60-an di Dewan Sultan Badlishah, maktab itu di sini hari ini.

Jamil Khir berkata, kesemua bakal haji Malaysia yang mendaftar untuk menunaikan ibadah haji tahun ini diingatkan supaya memenuhi segala keperluan yang disyaratkan termasuk suntikan vaksin berkenaan.

Menurut beliau, Tabung Haji akan berusaha membantu jemaah haji yang memerlukan bantuan bayaran suntikan vaksin tersebut yang melibatkan kos antara RM50 hingga RM70.

"Saya juga ingin mengingatkan semua jemaah haji negara supaya menjaga kesihatan agar memudahkan urusan mereka menunaikan Rukun Islam kelima itu," katanya.

Dalam pada itu, Jamil Khir memberitahu, kelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kini diperakui untuk tujuan penggajian yang setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Beliau berkata, perkembangan tersebut ekoran keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengiktiraf sijil STAM setaraf dengan STPM baru-baru ini.

"Semua lulusan STAM yang berkelayakan kini bukan sahaja boleh diterima masuk ke semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA), tetapi permohonan untuk pekerjaan juga akan dibayar gaji sama taraf dengan kelulusan STPM.

"Jadi pelajar sekolah agama tidak perlu berasa ragu atau ketinggalan di belakang dalam arus pendidikan negara untuk mengambil peperiksaan STAM dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Tiada ulasan: