Sabtu, 24 Oktober 2009

Sidang DUN dijamin lancar

Oleh ZAINI RABAN


IPOH - Polis hari ini memberi jaminan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan berlangsung pada 28 Oktober ini adalah terkawal.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, bagi memastikan sebarang perkara tidak diingini berlaku, semua wakil rakyat dan penyokong masing-masing diseru tidak berkumpul serta melakukan kekecohan.

"Sepatutnya Sidang DUN ini berlangsung tanpa mengganggu ketenteraman awam. Tidak kira sama ada ketenteraman di dalam mahu pun di luar dewan.

"Langkah-langkah yang akan kita ambil adalah berdasarkan undang-undang yang ada. Kita akan letak jumlah pegawai dan anggota keselamatan yang mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Ia merupakan tanggungjawab polis. Kita sudah ada cukup pengalaman berdasarkan Sidang DUN pada 7 Mei lalu," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan pusat perniagaan Green Town di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli menafikan polis telah dipergunakan oleh Barisan Nasional (BN) untuk menghalang wakil rakyat pakatan pembangkang daripada menjalankan tugas.

Jelas beliau, dakwaan yang dikeluarkan oleh Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham baru-baru ini adalah tidak benar sama sekali.

Tegasnya, polis hanya menjalankan tanggungjawab untuk memastikan keamanan dengan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang berdegil.

"Tidak ada sesiapa yang suruh polis. Ini bukan isu polis diarah oleh mana-mana pihak. Isunya di sini ialah polis menjalankan tanggungjawab berdasarkan peraturan dan undang-undang negara.

"Kita buat kerja bukan atas arahan atau suruhan tetapi berdasarkan tanggungjawab yang ditetapkan undang-undang negara. Saya ingin tegaskan tindakan kita bukan atas arahan mana-mana pihak," katanya.

Tiada ulasan: