Isnin, 5 Oktober 2009

'Sani hanyut dibawa arus deras'



Aminullah Kunan meriba anak sulungnya Piyalini Agustina yang terselamat dalam kejadian gempa bumi di Kampung Pulau Air di Padang Pariaman, semalam.

UTUSAN ONLINE

PADANG - Demi kasih kepada anaknya, seorang bapa, Aminullah Kunan, 43, telah melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan dua anaknya dalam kejadian gempa bumi Rabu lalu.

Sejurus rumahnya di Kampung Pulau Air, Padang Pariaman bergegar, dia segera mendukung anak perempuannya, Piyalini Agustina, 6, di sebelah kiri dan Sani, 3, di sebelah kanan sambil melarikan diri.

Turut melarikan diri bersama Aminullah ialah isterinya, ayah dan ibu mentua serta dua orang adik ipar.

Namun, tidak sampai 10 langkah Aminullah melarikan diri, dia mendengar bunyi umpama guruh dan secara tiba-tiba diterjah dari belakang oleh runtuhan tanah dari sebuah bukit berdekatan kediamannya.

Terjahan kuat itu menyebabkan Sani terlepas daripada dukungan Aminullah yang tenggelam timbul dalam arus pergerakan tanah bersama Piyalini Agustina.

"Saya dapat rasakan anak lelaki saya itu sudah terlepas, tiada apa yang boleh dilakukan selain memeluk Piyalini seerat mungkin kerana pergerakan tanah runtuh amat laju.

"Kami berdua 'dihanyutkan' runtuhan tanah sejauh 200 meter, Alhamdulillah kami berdua selamat," katanya kepada Utusan Malaysia di khemah penempatan mangsa gempa di Padang Pariaman, di sini hari ini.

Pada petang Rabu lalu kawasan Padang, Sumatera Barat, digegarkan oleh bencana gempa bumi dengan kekuatan 7.6 pada skala Richter.

Sementara itu, Aminullah berkata, isteri dan dua orang adik iparnya yang turut 'dihanyutkan' tanah runtuh itu turut terselamat.

Bagaimanapun katanya, nasib bapa dan ibu mertuanya sehingga kini masih belum diketahui manakala jenazah Sani pula ditemui Jumaat lalu.

"Saya mengalami keretakan pada dua tulang rusuk manakala Piyalini pula sekadar cedera ringan," katanya.

Menceritakan detik-detik cemas itu Abdullah berkata, kejadian tanah runtuh itu menyebabkan lapan buah rumah termasuk rumahnya hilang sekelip mata.

"Ia didiami oleh 31 orang, hanya enam orang yang terselamat iaitu saya, isteri, dua adik ipar dan seorang jiran yang kebetulan berada di tempat kerja.

"Seramai 25 orang lagi masih belum ditemui dalam runtuhan tanah sehingga hari ini," katanya.

Tiada ulasan: