Selasa, 20 Oktober 2009

PKFZ: Terus atau tamat?

Neo Chee Hua



Sekiranya kerajaan tetap mahu meneruskan pembangunan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), maka ia perlu menstrukturkan semula hutang yang ditanggung PKFZ. Ini bukan sesuatu yang enteng, kerana pelabur utama private bond yang dijual oleh Kuala Dimensi Sdn Bhd adalah syarikat kewangan, termasuk bank-bank dalam negara. Proses perundingan semakin rumit kerana melibatkan pihak-pihak ini.

Jikalau pinjaman daripada Kementerian Kewangan digunakan untuk menebus balik private bond berkenaan, PKFZ pula perlu berhadapan dengan tanggungan hutang yang amat besar jumlahnya.

Seandainya kerajaan memilih untuk "bail out" PKFZ (dengan tidak menuntut balik pinjaman tersebut), malah menyuntik modal baru ke atas projek ini, maka langkah ini perlu diluluskan di Parlimen. Kerajaan Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiga dalam dewan rakyat selepas dilanda "tsunami politik", ia semestinya berdepan dengan tentangan dari pembangkang. Kerajaan BN akan menghadapi tekanan kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Lebih-lebih lagi, kerajaan telah memeras hampir segala dana kerajaan untuk menghadapi krisis ekonomi global terbaru ini. Pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah RM67 bilion telah mengakibatkan defisit kewangan yang mencecah 7.6% pada tahun ini, dan ia berkemungkinan melonjak sehingga 9% atau 10% tahun depan. Nampaknya kerajaan tidak mempunyai dana yang lebih untuk bail out projek PKFZ.

Yang lebih penting, kerajaan telah mengusahakan projek Logistic Triangle yang terbentuk daripada Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor dan Lapangan Terbang Senai di Wilayah Pembangunan Iskandar. Kerajaan tidak terdaya untuk membangunkan satu lagi projek mega di PKFZ.

Namun demikian, adalah tidak munasabah sekiranya kerajaan menghentikan, dan membiarkan projek yang sudah dibina, malah mula beroperasi ini, disia-siakan begitu sahaja.

PKFZ: jalan alternatif...

Pakar Perancangan Pengangkutan dan Pengurusan, Goh Bok Yen (gambar kanan) ketika ditemuramah MerdekaReview, telah mengetengahkan jalan alternatif untuk PKFZ. Pada pendapat Goh, pilihan yang terbaik untuk PKFZ adalah untuk menstruktur semula, dan kemudiannya mengecilkan projek ini.

Beliau mengakui bahawa cadangan awal untuk membangunkan PKFZ berdasarkan model projek Jebel Ali Free Zone (Jafza), adalah satu idea pembangunan yang baik. Namun, dalam proses pembangunan tersebut, pihak yang terlibat jelas mengabaikan satu kenyataan, bahawa kita belum memiliki pasaran yang sebesar Jafza. Model PKFZ terlalu besar untuk pelabuhan Klang yang keperluannya terbatas. Adalah tidak realistik jikalau terus menghambat kedudukan seperti Jafza.

Maka, Goh Bok Yen berpendapat cara yang terbaik adalah untuk mengecilkan model PKFZ, menyesuaikannya mengikut keperluan Pelabuhan Klang, dan membangunkannya beransur-ansur bertitik tolak dari itu. Langkah-langkah ini termasuklah menstruktur semula dana modal yang disuntikkan ke dalam projek ini, mengecilkan model pengoperasiannya, dan seterusnya menurunkan kos pengoperasiannya.

Dengan ini, PKFZ akan mencapai pengimbangan dari segi permintaan dan keperluan, dan seterusnya mampu untuk menanggung beban kewangan secara sendiri.

Memandangkan pembinaan infrastruktur PKFZ telah disiapkan, bahkan mula beroperasi, kerajaan seharusnya menggunakan sumber pelabuhan ini secara bijak untuk memperasakan daya saing. Tidak dinafikan bahawa projek ini telah mengakibatkan kerugian yang besar, namun Goh hanya boleh mengeluh apabila "nasi sudah jadi bubur". Apa yang harus dilakukan seterusnya adalah untuk memanfaatkan kemudahan infrastruktur ini secara berkesan.

Siapa mendominasi PKFZ seterusnya?

Sekiranya kerajaan berhasrat untuk meneruskan pembangunan PKFZ, maka kerajaan boleh memilih untuk mengambil-alih projek ini, ataupun diserahkan kepada pihak swasta. Seandainya diserahkan kepada swasta, PKFZ boleh diambil-alih oleh syarikat pengoperasian pelabuhan yang sedia ada. Antaranya, Northport dan Westport menjadi pilihan yang paling ideal kerana PKFZ terletak di antara dua pelabuhan ini.

Northport dimiliki syarikat NCB Holdings di bawah Syarikat Pemodalan National Berhad; sementara Westport, yang mana pemegang saham terbesarnya ialah syarikat Kelang Multi Terminal Sdn. Bhd. Pemegang saham utama Kelang Multi Terminal ialah Pembinaan Redzai Sdn Bhd, Hutchinson Whampoa dan Khazanah National (sayap pelaburan kerajaan).

Pilihan kedua ialah, Pelabuhan Tanjung Pelepas atau Pelabuhan Johor. Pada dasarnya, pemegang saham utama untuk kedua-dua pelabuhan ini ialah koperat bumiputera terkemuka, Syed Mokhtar Albukhary. Oleh itu, tiada bezanya jika diserahkan kepada mana-mana pelabuhan di atas. Namun, salah satu syarikat di bawah Syed Mokhtar Albukhary, iaitu MMCCORP telah melabur dan mengambil alih SATS, dan membentuk Logistik Triangle dengan Lapangan Terbang Senai, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor di Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia. Persoalannya ialah, mampukah, atau sanggupkan S.M. Albukhary menanggung satu lagi projek zon bebas pelabuhan?

Maka, siapa yang wajar mendominasi PKFZ seterusnya, kerajaan atau sektor swasta? Goh berpendapat, sekiranya pihak kerajaan yang mendominasi projek ini, ia akan mengurangkan penyelewengan, tetapi keberkesanan pengurusan mungkin kurang memuaskan. Sekiranya ia diserah kepada pihak swasta, keberkesanan pengurusannya semestinya lebih baik daripada kerajaan, tetapi mudah mengundang masalah penyelewengan, seperti apa yang berlaku sekarang.

Walau bagaimanapun, Goh berkecenderungan untuk memilih agar PKFZ didominasi pihak swasta, dengan syarat kerajaan harus memainkan peranan sebagai pemantau yang baik, untuk memastikan PKFZ dapat membangun dengan positif.

Tiada ulasan: