Isnin, 12 Oktober 2009

Pindaan tidak gugat status quo pemimpin: TPM

Oleh Sariha Mohd Ali


PORT DICKSON: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pindaan Perlembagaan Umno pada perhimpunan agung Khamis ini tidak mengancam status quo pemimpin jika mereka mengekalkan prestasi perkhidmatan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia tidak merugikan mereka, sebaliknya mampu menjadi alat untuk mengawasi semua pemimpin supaya menunaikan amanah bagi mengelak diketepikan pada pemilihan tiga tahun selepas itu.

Beliau berkata, perubahan juga bagi memastikan Umno bukan lagi parti yang ‘tidur’ pada semua peringkat, sebaliknya bersedia menghadapi cabaran khususnya Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Apabila pindaan diluluskan, ia akan memberi hak lebih luas kepada ahli menentukan masa depan parti dan memilih pemimpin layak serta sesuai bermula daripada jawatan Presiden hingga Ahli Majlis Tertinggi (MT), berbanding sistem sekarang yang lebih ‘melindungi’ pemimpin.

“Ini proses pendemokrasian kepemimpinan yang mempunyai signifikan besar. Jangan takut kepada perubahan, malah jika ada tokoh baru yang mampu melaksanakan tugas, mereka perlu diberi peluang dan ini tidak merugikan parti, sebaliknya meremajakan Umno,” katanya.

Muhyiddin berkata, tindakan menambah perwakilan kepada 146,500 orang pula mampu mengurangkan manipulasi pihak tertentu untuk pertahankan jawatan.

Beliau berkata, tindakan itu juga membuktikan Umno bukan parti yang dikuasai atau eksklusif untuk puak tertentu, sebaliknya milik semua orang Melayu.

Katanya, bagi memastikan pindaan perlembagaan memberi kesan lebih meluas, Umno akan merangka pelan latihan untuk seluruh kepemimpinannya beberapa minggu lagi, membabitkan penyertaan negeri, bahagian, cawangan dan semua sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

“Kursus kesedaran dan program bina semangat penting kerana orang nak tengok sama ada perangai orang Umno berubah atau tidak dengan transformasi ini,” katanya.

Beliau berkata, pindaan perlembagaan membuka peluang lebih ramai tokoh korporat dan intelektual menyumbang, sekali gus menjadikan Umno parti yang inklusif seperti disarankan Presiden, Datuk Seri Najib Razak.

Muhyiddin berkata, kegagalan melakukan perubahan menjadikan Umno dilihat sebagai parti ‘letih dan tidak bermaya’ serta sering dikritik sehingga menyebabkan ramai menjauhkan diri.

Beliau berkata, Umno parti orang Melayu dan tindakan mengembalikan hak pemilihan kepada ahli adalah langkah terbaik.

Mengulas kemungkinan berlaku perpecahan akibat proses pemilihan setiap tiga tahun sekali, Muhyiddin berkata, ia tidak akan berlaku kerana mereka yang lama berjuang dan berjasa akan terus dikekalkan jika perwakilan berpendapat calon itu layak dipilih.

“Masalah kita ialah mahu mengekalkan kedudukan sehingga 40 tahun tetapi adakah itu baik? Sebenarnya, orang muda juga berkeupayaan, berpendidikan, berpengalaman dan matang pemikiran. Jika kita tak sedar perubahan minda itu, bermakna kita terkongkong dengan pemikiran lama,” katanya.

Tiada ulasan: