Isnin, 5 Oktober 2009

Penularan H1N1 dalam komuniti masih aktif

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai supaya terus berwaspada dan melaksanakan langkah pencegahan kerana penularan wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1) dalam komuniti masih aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, pihaknya menyedari bahawa orang ramai kini telah mula menganggap wabak H1N1 semakin berkurangan.

Beliau menegaskan, gejala tersebut masih lagi berleluasa, justeru, orang ramai perlu menjaga kebersihan dan mengambil langkah berjaga-jaga.

''Lebih-lebih lagi kita masih dalam suasana perayaan dengan adanya rumah terbuka atau majlis keramaian. Majlis-majlis itu boleh meningkatkan penularan jangkitan atau penyebaran virus influenza.

''Individu yang mempunyai simptom gejala penyakit serupa influenza (ILI) dinasihatkan tidak berkunjung ke majlis-majlis seperti itu,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Ismail memberitahu, sehingga hari ini seramai 184 pesakit baru ILI telah menerima rawatan, manakala 173 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Tambah beliau, jumlah semasa kes yang masih dirawat di seluruh negara ialah sebanyak 726 dan daripada jumlah tersebut hanya 75 pesakit merupakan positif H1N1.

''Bagaimanapun, jumlah kematian masih kekal 77 orang,'' ujar beliau.

Beliau berkata, daripada 75 pesakit positif itu, sebanyak 16 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Tiada ulasan: