Khamis, 1 Oktober 2009

Pas guna tema 'Bersama Kehendak Rakyat'

UTUSAN ONLINE


SEREMBAN - 'Bersama Kehendak Rakyat' menjadi tema Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang untuk memastikan kemenangan parti itu ke atas Barisan Nasional (BN).

Calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar, 45, berkata, pendekatan yang membawa mesej jelas untuk menyaksikan gelombang perubahan diharap memenangi hati pengundi pada pilihan raya kecil, 11 Oktober ini.

"Kita mewakili pakatan pembangkang mahu membuat perubahan dan masuk dalam pilihan raya kecil ini atas tema 'Bersama Kehendak Rakyat' kerana kita bertanding khusus untuk membela rakyat dalam suasana politik semasa," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Sehubungan itu, Zulkefly berkata, beliau akan bertemu seberapa ramai pengundi di Bagan Pinang untuk memastikan kemenangan Pas pada pilihan raya kecil itu.

"Pakatan pembangkang akan menjalankan kempen secara sihat kerana kita percaya pengundi di Bagan Pinang menerima baik pendekatan yang dibawa parti ini.

"Kita akan jumpa pengundi untuk menyampaikan matlamat parti dan mengapa mereka perlu memilih saya, parti dan pakatan pembangkang," tambah beliau.

Kata Zulkefly, walaupun lawannya nanti merupakan bekas Menteri Besar dan individu yang dilihat berpengaruh, selaku anak jati Lenggeng, Seremban beliau tidak pernah gentar sebaliknya menghormati kepimpinan Tan Sri Mohd. Isa Samad.

"Kita sedar Bagan Pinang ini merupakan kubu kuat UMNO dan BN tetapi kita cuba memenangi hati rakyat sebagaimana yang kita lakukan ketika memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu," jelas beliau.

Dari segi peluang, beliau menegaskan, Pas akan memperoleh sokongan mantap daripada pengundi di Bagan Pinang.

"Kita akan membawa pendekatan berbeza. Bagaimana caranya, kita akan jelaskan pada hari kempen nanti. Saya percaya pengundi di sini yang terdiri daripada pelbagai kaum boleh menerima saya," ujar beliau.

Zulkefly merupakan seorang ahli perniagaan dan memegang Ijazah Sarjana dalam bidang Sains dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Nama beliau diumumkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini, semalam.

Tiada ulasan: