Sabtu, 24 Oktober 2009

Masjid al-Nabawi semakin sesak dengan jemaah

UTUSAN ONLINE


MADINAH - Masjid al-Nabawi semakin sesak dengan puluhan ribu jemaah sejak semalam apabila umat Islam dari luar mula mendatangi kota suci itu sebagai sebahagian dari pelengkap ibadat haji.

Kehadiran sebegitu banyak jemaah dari seluruh dunia menyebabkan banyak jemaah wanita terpaksa bersolat di pekarangan masjid.

Berbeza dengan keadaan beberapa hari lalu yang banyak didominasi oleh orang Arab, wajah-wajah dari bangsa lain terutama dari Asia Tenggara, Asia Tengah dan Turki mula memenuhi masjid nabi itu.

Menariknya, jika sebelum ini majoriti jemaah wanita yang kelihatan memakai jilbab hitam tetapi pemandangan di persekitaran masjid sejak semalam makin 'berwarna-warni' dengan jemaah wanita dari negara-negara lain memakai pakaian berbeza-beza berdasarkan negara atau syarikat menguruskan haji yang mereka sertai.

Jemaah Turki memakai pakaian kekuningan dengan reben bunga ros di atas tudung, jemaah Indonesia sebahagian besarnya memakai kain atau tudung merah dan jemaah Malaysia memakai pakaian serba putih dengan beg gantung warna oren terang sumbangan TM.

Paling menonjol adalah jemaah dari Thailand khususnya Pattani yang berpakaian atas, bawah kasut atau selipar, beg, tudung dan reben mewakili warna berbeza seperti merah, merah jambu, kuning dan putih.

Apabila masuk waktu solat, suasana di kawasan sekitar satu kilometer dari masjid itu begitu mengagumkan dengan beribu-ribu jemaah berduyun-duyun berjalan atau terkejar-kejar dari hotel-hotel penginapan mereka menuju ke masjid.

Pasukan keselamatan Arab Saudi turut memperketatkan pengawasan sejak kelmarin termasuk menempatkan anggota-anggota polis peronda di kawasan-kawasan strategik.

Larangan mengambil gambar di sekitar masjid juga diperketatkan.

Laluan ke kawasan Makam Nabi Muhammad SAW yang bersebelahan dengan Makam Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khatab terlalu sesak tanpa mengira waktu kerana para jemaah yang baru tiba tidak mahu melepaskan peluang memberi penghormatan kepada Rasullullah dan dua khalifah Islam itu.

Selain makam-makam itu, kawasan lain yang turut menjadi rebutan jemaah untuk bersolat dan berdoa ialah ruang solat agak sempit yang dikenali sebagai Rawdah dan perkuburan al-Baqi'.

Rawdah iaitu kawasan bekas rumah Rasullullah yang terletak antara makam Nabi dan mimbar masjid dikatakan kawasan yang mustajab untuk berdoa, manakala perkuburan al-Baqi' menempatkan kubur-kubur isteri-isteri, anak-anak, Saidina Othman bin Affan dan sahabat-sahabat Rasullullah.

Sementara itu, seramai 3,439 jemaah dan 315 petugas dari Malaysia selamat tiba di sini sehingga penerbangan yang kesembilan, semalam.

Tiada ulasan: