Khamis, 15 Oktober 2009

Khairy minta peruntukan disalur terus pada Pemuda

Abdul Rahim Sabri


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memohon dan merayu kepada pucuk pimpinan parti agar peruntukan terus disalurkan kepada Pemuda setiap bahagian di seluruh Malaysia agar usaha permerkasaan pergerakan tersebut dapat dijalankan.

Katanya, ia adalah ekoran daripada peruntukan untuk setiap bahagian di seluruh Malaysia akan ditambah.

"Saya pohon dan merayu kepada Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) agar peruntukan itu disalurkan terus kepada Pemuda Umno bahagian.

"Bukan tak percaya dengan ketua bahagaian... tetapi kita nak tentukan Pemuda dapat menentukan sendiri apa yang berhak dengan peruntukan tersebut," katanya.

Khairy yang juga ahli parlimen Rembau berkata demikian dalam ucapan penggulungan di hadapan 795 perwakilan Pemuda di Dewan Tun Dr Ismail lewat penting ini.

Dalam ucapannya, Khairy merancang untuk melakukan permerkasaan parti dengan permukiman Pemuda dalam usaha untuk menyatukan Pemuda.

Katanya permukiman tersebut adalah usaha untuk mewujudkan semangat setiakawan untuk memperkukuhkan Pemuda.

Katanya beliau bercadang untuk mengadakan permukiman itu sebelum akhir tahun ini di Janda Baik.

"Kita bersatu bukan sebagai satu retorik politik semata-mata," katanya.

Katanya lagi, walaupun mengakui berlaku 'luka' dalam pemilihan parti Mac lalu, tetapi pada kali ini, beliau menyaksikan berlakunya "penyatuan minda dan hati dengan apa yang berlaku, bersatu dan tidak ada pasukan Pemuda 1, atau Pemuda 2, atau Pemuda 3".

"Luka dalam pemilihan bukan mudah diubati, ia mengambil masa. Banyak pertanda adanya penyatuan.

"Saya bangga dengan ucapan Ketua Penerangan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menerima Datuk Razali Ibrahim sebagai naib ketua pemuda Umno Malaysia," katanya.

Dalam pemilihan pucuk pimpinan parti Mac lalu, Reezal tewas di tangan Razali dalam merebut kerusi naib ketua Pemuda.

Menurut Khairy lagi, beliau juga bangga dengan mutu perbahasan perwakilan yang meluahkan segala perkara yang tidak berpuas hati dengan yang terbuku dalam hati mereka.

"Kalau dalam perhimpunan ini, kita tak berterus terang, tak sampaikan isi hati, di mana kita nak sampaikan pesanan akar umbi," katanya bagi mengulas ucapan Ketua Pemuda Langkawi Nor Saidi Nayan dalam ucapannya pagi tadi.

Menyentuh tentang saranan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggariskan Kunci Indeks Pencapaian (KPI) daripada Pemuda agar berusaha menambah ahli dan mengadakan jaringan dengan NGO, Khairy menyeru Pemuda agar bersaing dengan pihak yang lain untuk mendapatkan undi daripada pengundi muda.

"Untuk berjaya permerkasaan parti kita kena buktikan bahasa kita, Pemuda yang terbaik dalam sejarah Pemuda Umno. Boleh,"

"Boleh," sambut kira -kira 795 perwakilan yang menggamat dewan tersebut.

"Kita juga mahu menghantar isyarat kepada pembangkang, Pemuda sudah bersedia menerima cabaran," katanya sambil melaungkan "Hidup Pemuda" dan "1 Malaysia" sebanyak tiga kali.

Tiada ulasan: