Isnin, 26 Oktober 2009

Keluarga setuju gali semula kubur Beng Hock

BERNAMA


ALOR GAJAH - Keluarga pembantu politik Teoh Beng Hock bersetuju mengeluarkan semula mayatnya untuk dilakukan post-mortem kedua oleh ahli patologi terkenal Thai, Dr. Pornthip Rojanasunand.

Peguam Gobind Singh Deo, selaku peguam pemerhati bagi pihak keluarga itu dalam inkues mengenai kematiannya, berkata mereka (keluarga) mengarahkan beliau memohon kepada koroner untuk menggali semula mayat Beng Hock secepat mungkin.

"Saya memberi penerangan kepada mereka dan mereka memutuskan adalah signifikan dan penting untuk mengadakan post-mortem kedua," katanya pada sidang akhbar di rumah keluarga Beng Hock di Taman Seri Kelemak di sini hari ini.

Gobind berkata, permohonan untuk tujuan itu berkemungkinan difailkan esok.

"Kita perlu melihat kepada isu tentang wanita itu (Dr. Pornthip) datang ke sini untuk post-mortem, undang-undang berkaitan dengannya dan di mana ia akan diadakan, serta pasukan perubatan yang akan membantu beliau," katanya.

Pada 16 Julai, Beng Hock, setiausaha politik kepada anggota EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salahguna peruntukan kerajaan negeri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di bangunan yang sama.

Minggu lepas, Dr. Pornthip memberitahu inkues bahawa beliau dapat membuat kesimpulan yang lebih baik mengenai sebab kematian Beng Hock jika beliau diberi peluang mengendalikan sendiri post-mortem kedua.

Pakar berusia 54 tahun itu yang diminta oleh kerajaan Selangor untuk memberi keterangan di inkues itu berkata mengeluarkan semula mayat Beng Hock untuk post-mortem itu tidak akan menyebabkan beliau menghadapi sebarang kesukaran dan kekurangan.

Dr. Pornthip ialah Ketua Pengarah Institut Sains Forensik Sentral, Kementerian Kehakiman Thailand.

Tiada ulasan: