Sabtu, 10 Oktober 2009

Kain rentang di pusat SMM dirampas

Abdul Rahim Sabri


Kanopi pusat Gerakan Mahasiswa yang dikendalikan oleh anggota Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Bagan Pinang diserbu sekali lagi oleh pegawai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tengahari semalam.

Ahli Majlis Tertinggi SMM, Muhammad Hilman Idham berkata, seorang pegawai KPT tiba dengan tiga anggota polis ke tempat tersebut di Batu 6 ½ Jalan Pantai Teluk Kemang pada jam 1 tengahari.

NONESewaktu itu, katanya, dua anggota SMM yang kebetulan berada tidak jauh dari situ, hanya memerhati ketibaan mereka.

Katanya, beliau tidak berada di situ tetapi dimaklumkan mengenai kedatangan pegawai KPT itu oleh rakan-rakannya.

Muhammad Hilman berkata, beliau diberitahu bahawa pegawai KPT tersebut adalah individu yang sama yang datang kelmarin.

Katanya, pegawai KPT itu dilihat menurunkan kain rentang bertulis - Pusat Gerakan Mahasiswa yang dipasang di hadapan kanopi tersebut - serta beberapa kain rentang yang memaparkan tulisan "E-Undi" dengan tanda pangkah.

Bagaimanapun, katanya, kanopi, kerusi dan meja di situ tidak disentuh.

NONEMuhammad Hilman berkata, selepas kira-kira setengah jam, pegawai KPT dan anggota polis berkenaan beredar dari situ.

Katanya, apabila beliau tiba di situ pada jam 6.50 petang semalam, kelihatan sebuah kereta polis, dengan anggota di dalamnya, berada berhampiran kanopi tersebut.

Muhamad Hilman berkata, beliau tidak masuk ke kanopi tersebut dan hanya memantau keadaan dari jauh.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai usaha untuk "menakut-nakutkan mahasiswa" yang mendesak kementerian membatalkan pelaksanaan sistem pengundian E-Undi dalam pilihanraya kampus kali ini.

Tiada ulasan: