Selasa, 13 Oktober 2009

Jemaah haji dinasihati jangan tunggu saat akhir

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom mengingatkan semua bakal jemaah haji tidak memandang ringan keperluan mendapatkan suntikan vaksin influenza sebelum memasuki Arab Saudi.

Beliau berkata, tindakan mendapatkan suntikan itu pada saat-saat akhir sebelum berlepas dibimbangi menyebabkan jemaah haji terbabit mengalami demam atau penyakit lain.

''Saya ingin ingatkan jemaah haji Malaysia bahawa suntikan itu wajib dan atas sebab itu kita tidak mahu nanti sampai nak bertolak, kita terpaksa bagi suntikan.

''Walaupun kita ada menyediakan doktor yang bertugas pada masa itu tetapi saya bimbang bila kena suntik, jemaah haji demam dan sebagainya,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan perdana bertajuk Transformasi Pengurusan Hal Ehwal Islam Menerajui Gagasan 1 Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Majlis anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut dimeriahkan dengan jamuan Aidilfitri anjuran jabatan itu.

Seramai 26,000 rakyat Malaysia akan menunai haji tahun ini dan kumpulan pertama dijadual berlepas pada 20 Oktober ini.

Pada Ogos lalu, Kementerian Wakaf dan Haji Arab Saudi mewajibkan semua bakal jemaah haji mengambil suntikan vaksin influenza bermusim sebelum memasuki negara tersebut untuk menunaikan ibadat haji.

Jamil Khir berkata, maklum balas daripada peserta kursus haji perdana di beberapa negeri mereka telah mendapatkan suntikan itu.

''Cuma bagi yang baru dapat tawaran menunaikan haji, perlulah segera mendapatkan suntikan vaksin influenza,'' katanya.

Pada sidang akhbar sama, beliau mengumumkan Ar Rahnu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menyediakan perkhidmatan menyimpan barang kemas milik jemaah haji pada kadar upah RM0.50 sebulan berbanding sebelumnya RM1 bagi setiap RM100 nilai barang kemas.

''Para jemaah haji yang berminat boleh mendapatkan perkhidmatan itu di 58 cawangan Ar Rahnu Yapeim di seluruh negara,'' katanya.

Tiada ulasan: