Isnin, 26 Oktober 2009

Jangkitan HIV secara seksual merisaukan

BERNAMA


Persidangan DUN Kelantan hari ini diberitahu jangkitan HIV secara seksual di negeri itu amat membimbangkan di kalangan remaja dan dewasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar berkata Kelantan kini mempunyai 749 kes HIV dan jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding jumlah sebelum ini.

Beliau berkata bagi kes jangkitan baru kepada golongan rakyat Kelantan berumur 20 hingga 29 tahun menunjukkan peningkatan 25 peratus, manakala mereka berumur 30 hingga 39 tahun meningkat 42 peratus.

"Pada tahun 2003 jangkitan HIV menular melalui suntikan adalah 70 peratus, namun pada 2008 penyebaran HIV menurun kepada 53 peratus.

"Selain suntikan, penyebaran HIV di Kelantan kini turut tersebar melalui seksual iaitu meningkat daripada 19 peratus pada 2007 kepada 27 peratus pada tahun lepas," katanya ketika menjawab soalan Zulkifli Mamat (PAS-Pulai Chondong) pada sidang DUN hari ini.

Wan Ubaidah berkata kerajaan negeri mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap bahayanya HIV itu termasuk mewajibkan saringan HIV untuk pasangan yang akan berkahwin.

Sementara itu, Wan Ubaidah berkata kerajaan negeri juga mengambil langkah proaktif dalam mencegah penularan wabak influenza A H1N1 berikutan seramai 346 orang positif wabak itu dengan satu kematian di Kelantan.

Beliau berkata pihaknya telah membuka bilik gerakan bagi wabak itu pada April tahun lalu, mengadakan 226 ceramah kesedaran, 203 taklimat, 266 iklan kesedaran melalui radio, mengadakan 163 pameran, memberikan vaksin kepada 11,378 orang dan mengadakan solat hajat perdana untuk membendung wabak itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian,Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi berkata kerajaan negeri kini mempelopori tanaman padi secara organik dengan peruntukan RM200,000 untuk mendapatkan keuntungan lebih.

"Melalui padi organik, tiada lagi keperluan kepada bahan-bahan kimia termasuk baja, meracun dan sebagainya yang dapat menjimatkan kos," katanya ketika menjawab soalan Omar Mohamad (PAS-Perupok).

Beliau berkata hasil purata pengeluaran padi di negeri Kelantan meningkat baik iaitu 2007 sebanyak 3.89 metrik tan padi dihasilkan dan 2008 sebanyak 4.26 metrik tan padi dihasilkan.

Tiada ulasan: