Jumaat, 9 Oktober 2009

'Jangan halang keluar mengundi'

BERNAMA


Polis hari ini memberi amaran akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menghalang orang ramai daripada keluar mengundi dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang Ahad ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata polis akan memantau keadaan bagi menjamin kelicinan pergerakan orang ramai ke tempat mengundi.

"Jika kita dapati ada orang yang cuba menyekat atau pun mengadakan apa-apa juga bentuk halangan, kita akan dakwa mereka," katanya pada sidang akhbar di Port Dickson hari ini.

Osman menasihatkan pengundi agar tidak risau kerana polis akan memastikan mereka dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan sempurna.

Katanya polis menjangkakan berlaku kesesakan lalulintas pada Ahad ini disebabkan bertambahnya kenderaan dan juga pelawat.

"Kita akan menempatkan anggota polis trafik di setiap persimpangan lampu isyarat. Kita akan cuba membantu pengguna jalan raya," kata Osman.

Tiada ulasan: