Isnin, 26 Oktober 2009

Isu Loji Arang Batu Di Sabah

Oleh: MUTALIB M.D (sabahkini)


ISU loji arang batu di Sabah telah mengalami transformasi politik dan agitasi budaya apabila majoriti rakyat Sabah menolak pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu yang disifatkan sebagai mencemar alam sekitar dan menggugat kehidupan manusia.

Kesan desakan dan bantahan awam, pada 2 April 2008 Kerajaan Negeri Sabah telah membatalkan cadangan untuk membina loji janakuasa arang batu berkapasiti 300 megawatt di Teluk Soiun, Silam, 18 kilometer daripada Lahad Datu dengan alasan akan merosakan kehidupan marin Teluk Darvel dan berdekatan dengan Tapak Warisan Dunia Lembah Danum.

Pada 15 Ogos 2008, Kerajaan Negeri Sabah meluluskan pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu dibina di tapak baru iaitu Tapak POIC Sandakan. Bagaimanapun akibat bantahan keras semua pihak termasuk SAPP, maka pada 24 Februari 2009, Timbalan Ketua Menteri Sabah mengumumkan bahawa loji berkenaan dipindahkan daripada POIC Sandakan ke POIC Lahad Datu.

Pada 4 Mei 2009, Kerajaan Negeri Sabah telah membuat keputusan untuk membina loji janakuasa berkenaan di Felda Sahabat 16, Tungku di kawasan Parlimen Silam, namun tidak diketahui umum.

Kemuncak keresahan rakyat Sabah, terutama yang tinggal di Parlimen Silam (Kunak, Lahad Datu, Tungku) apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak membuat pengumuman rasmi bahawa Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk membina loji janakuasa arang batu 300 megawatt di Felda.

Pada 13 September 2009, ketika berucap di Masjid Al-Kautsar Tawau di hadapan 17,000 rakyat Sabah Najib berkata;

“Apabila hendak buat janakuasa arang batu semua tidak hendak. Sandakan tidak mahu. Lahad Datu tolak. Jika semua tolak, kita buat di Felda Sahabat. Kalau kita tidak buat loji janakuasa, orang Sabah khususnya di pantai timur akan sentiasa terputus bekalan elektrik.”

Ekoran daripada itu, bantahan semakin mencurah-curah menghujani email sabahkini.net terutama daripada rakyat Sabah yang selama ini menghirup udara segar bumi di bawah bayu yang telah dilanda Ribut Greg, trauma dan ‘alergik’ dengan isu janakuasa arang batu.

Sehubungan itu, Editor sabahkini.net, Mutalib M.D telah menemuramah Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee di sebuah hotel terkemuka di Lahad Datu bagi mengupas pandangan beliau terhadap isu yang semakin menjadi ‘taboo’ bagi masyarakat di Pantai Timur Sabah.

Sabahkini.net (SK): Selamat petang Datuk. Saya diberitahu Datuk melawat tapak cadangan loji janakuasa arang batu di Sinakut baru-baru ini selepas Perdana Menteri mengumumkan secara rasmi di Tawau. Apa pandangan Datuk berhubung isu ini?

Yong Teck Lee (YTL): Selamat petang. Terima kasih atas usaha murni Sabahkini.net mengupas isu ini demi kepentingan rakyat Sabah. Dalam hal ini, saya lebih suka berterus terang bahawa Datuk Seri Najib telah ‘meludah ke langit’ kerana sebelum ini Kerajaan Negeri Sabah telah menolak dua tapak cadangan atas bantahan rakyat Sabah terutama pencinta alam dan NGO. Alasan kerajaan negeri membatalkan dua tapak cadangan sebelum ini amat jelas iaitu demi kesejahteraan masyarakat dan memastikan tahap pencemaran udara daripada loji arang batu berada di tahap sifar.

SK: Bukankah Kerajaan Negeri Sabah juga bersandiwara berhubung isu ini apabila menolak dua tapak cadangan sebelum ini setelah membelanjakan jutaan ringgit untuk menyediakan tapak dan menjalankan kajian impak alam sekitar?

YTL: Memang kita kesal dengan ‘drama’ yang dilakonkan Kabinet negeri Sabah kerana sebelum ini mereka menerima bantahan penduduk Silam sehingga memindahkan cadangan loji berkenaan ke tapak POIC Sandakan dan apabila majoriti penduduk Sandakan membantah, termasuk kita (SAPP), Kerajaan Negeri memindahkan kembali cadangan loji ini ke POIC Lahad Datu. Tetapi desakan demi desakan penduduk Lahad Datu, atas sebab tertentu, menyebabkan Kerajaan Persekutuan campurtangan sehingga isu ini berbangkit kembali apabila Najib mengumumkan secara rasmi tapak cadangan loji ini di Felda Sahabat 16, Tungku.

SK: Boleh Datuk perjelaskan ‘campurtangan’ kerajaan Persekutuan dalam isu ini?

YTL: Campurtangan Kerajaan Persekutuan dalam isu tenaga di Sabah bukanlah perkara baru tetapi mutakhir ini begitu ketara kerana pada 20 Jun 2007, Kerajaan Persekutuan melalui Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri telah menganugerahkan projek ini kepada Lahad Datu Energy Sdn.Bhd yang hanya bermodal RM2 dan merupakan gabungan consortium TNB Remaco, Eden-Nova, Maser dan Yayasan Sabah sebelum mendapat pandangan rakyat Sabah dan sebelum EIA diluluskan.

SK: Menyentuh Yayasan Sabah, apakah kepentingan Yayasan Sabah dalam industri tenaga sedangkan Yayasan Sabah selama ini telah gagal menjalankan fungsi mengikut dasar penubuhannya?

YTL: Inilah soalan paling menarik yang kita ingin tanya kepada Kerajaan Negeri Sabah. Jika selama ini menolak dua tapak cadangan, apakah dengan melibatkan Yayasan Sabah, maka keputusan mengharamkan loji janakuasa arang batu kini boleh dihalalkan kerana Kerajaan Negeri mempunyai kepentingan di dalam Yayasan Sabah? Kita harap ‘kebimbangan’ rakyat Sabah selama ini dan kebimbangan SAPP tidak menjadi kenyataan.

SK: Boleh Datuk huraikan apakah maksud terminologi ‘kebimbangan’ itu?

YTL: Sebagaimana kebimbangan kita terhadap kesan pencemaran jangka panjang, kita turut bimbang jika bahan bakar arang batu yang kononnya akan diimport daripada China dan Indonesia akan mengalami kepupusan dan akan mendorong Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk meluluskan permit melombong komposit arang batu di Maliau Basin dan Buffer Zone serta Kuamut bagi memenuhi keperluan arang batu di masa hadapan. Jika ini terjadi, maka kita akan kehilangan satu-satunya ‘The Lost World’ yang kita ada dan menjadi malapetaka paling besar kepada rakyat Sabah.

SK: Kenapa Datuk menyifatkannya sebagai ‘malapetaka’ sedangkan sumber asli harus dikeluarkan daripada perut bumi Sabah sebagaimana kita melombong minyak, gas dan tembaga di Mamut?

YTL: Malapetaka yang saya maksudkan ialah akan menyebabkan pencemaran alam sekitar dan memusnahkan alam semula jadi di Lembah Danum, Lembangan Maliau, Imbak Canyon, Bio-Bank Segama Malua dan sekitarnya sehingga apa yang kita pertahankan dan pulihara selama ini akan musnah dalam sekelip mata jika lombong arang batu dibina di Maliau Basin. Jadi untuk mengelak malapetaka ini, kita harus berganding bahu menentang sekeras-kerasnya cadangan pembinaan loji ini.

SK: Bagaimana agaknya skima dan modus operandi bantahan yang akan digerakkan Datuk untuk memastikan bantahan ini mencapai kejayaan sebagaimana dua bantahan lalu?

YTL: Sebenarnya tugas untuk membanteras kezaliman dan ketidak adilan sosial serta pencemaran alam sekitar bukanlah tugas SAPP semata-mata, sebaliknya adalah tugas rakyat Sabah keseluruhannya. SAPP bukanlah kumpulan pendesak atau penghasut, sebaliknya berjuang secara bersendirian demi kepentingan bersama. Kita keluar daripada Gagasan BN kerana prinsip dan bantahan juga akan dibuat secara berprinsip. SAPP hanyalah salah satu komponen yang paling mesra rakyat untuk menyuarakan bantahan kerana tidak terikat kepada mana-mana gabungan atau kepentingan dan bertindak sebagai entiti tersendiri demi kepentingan keseluruhan rakyat Sabah melalui majlis penerangan dan ‘walkabout’ dari semasa ke semasa.

SK: Apakah sebenarnya motif bantahan Datuk terhadap cadangan Najib meluluskan tapak cadangan pembinaan loji janakuasa arang batu ini di Felda Sahabat sedangkan sebelum ini Najib secara jelas mengatakan bahawa Lahad Datu dan Sandakan menolak sehingga memaksa beliau membuat keputusan drastik membina loji berkenaan di kawasan berkecuali, sedangkan pada dasarnya ia juga berada di Daerah Penuh Lahad Datu. Apakah wujud ‘state between state’?

YTL: Kita membantah pembinaan loji arang batu ini demi kepentingan rakyat Sabah dan bukannya kerana mahu mendapatkan ‘political mileage’ daripada isu penting dan genting ini. Kita agak kesal dengan ungkapan provokatif daripada Najib ketika mengumumkan tapak cadangan pembinaan loji ini yang telah mewujudkan senario ‘prasangka’ rakyat Sabah yang risau apakah akan wujud Wilayah Persekutuan kedua di Sabah selepas Labuan? Apakah akan wujud ‘negeri antara negeri’ sebagaimana yang terjadi di Selangor yang terpaksa melepaskan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kepada Kerajaan Persekutuan sedangkan Sabah mempunyai imuniti tersendiri berhubung tanah, pemerintahan dan hasil bumi. Dengan keluasan 343,982 ekar, Gugusan Felda Sahabat yang selama ini diberi kuasa ‘autonomi’ oleh Kerajaan Persekutuan dengan izin Kerajaan Negeri, kita harap kebimbangan kita tidak menjadi kenyataan kerana kita akan menentang habis-habisan.

SK: Bukankah Kerajaan Negeri yang memberikan persetujuan dengan tapak cadangan berkenaan sebagai jalan penyelesaian terbaik?

YTL: Kerajaan Negeri Sabah mempunyai agenda tersendiri apabila merahsiakan kelulusan Kabinet Negeri Sabah pada 4 Mei 2009 sehinggalah diumumkan Najib pada 13 September 2009. Persoalan yang sering ditanya rakyat, kenapa hampir empat bulan kemudian baru kerajaan mengumumkan pembinaan loji ini sedangkan rakyat Sabah sudah memikirkan Kabinet Negeri Sabah telah dua kali menolak, tetapi kenapa kali ketiga diluluskan pula? Kenapa tidak buat kajian kesesuaian dan kemungkinan dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat? Inilah antara soalan yang sering rakyat tanya.

SK: Menurut penjelasan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui, projek pembinaan loji janakuasa arangbatu ini tidak akan menyebabkan pencemaran alam sekitar yang memudaratkan kesihatan penduduk, apa komen Datuk berhubung isu ini?

YTL: Walaupun jaminan berkenaan diberikan bahawa kononnya TNB menggunakan piawaian tinggi setanding dengan loji arang batu di negara maju, namun majoriti rakyat Sabah menolak pencemaran alam yang bakal dikeluarkan daripada loji ini kerana selama ini udara Sabah sudah mula kotor dan dikotorkan oleh asap kilang dan tidak lagi sanggup menerima pencemaran berganda daripada empat janakuasa arang batu yang bakal menutup langit Semenanjung Dent dan mendatangkan impak alam sekitar yang amat besar.

SK: Menurut Najib, loji berkenaan akan dibina di kawasan Felda, namun apa pandangan Datuk berhubung isu lokaliti loji ini secara tepat.?

YTL: Dalam usaha mencari jawapan kepada soalan ini telah menghantar saya ke kampung Sinakut untuk melihat senario sebenar kerana yakin Najib telah ‘berbohong’ kepada rakyat Sabah demi untuk survival politik beliau yang sekaligus menunjukkan kerajaan negeri dalam keadaan terdesak akibat agitasi politik pemimpin Persekutuan. Saya dapati walaupun letak loji berkenaan di kawasan Felda namun ianya telah menceroboh tanah adat serta Sahabat Pinggir dan Zon Keselamatan yang telah dikeluarkan daripada Felda pada 1996. Dakwaan Najib bahawa loji berkenaan berada di kawasan Felda tidak tepat kerana melibatkan pemindahan lebih 18 buah rumah dan tiga buah pondok di atas tanah adat, bukannya tanah kerajaan negeri seperti didakwa; 11 buah rumah dan empat buah pondok serta sebuah surau di Zon Penampan Barat; 19 buah rumah dan empat buah pondok di Zon Penampan Timur. Saya melihat pengambilan tanah adat dan arahan pemindahan penduduk tempatan merupakan pencerobohan hak asasi dan Felda sewajarnya memindahkan tapak loji berkenaan ke dalam kawasan Felda sendiri tanpa melibatkan atau mengganggu keharmonian penduduk kampung yang telah menghuni kawasan ini sejak sebelum merdeka. Mereka sudah cukup menderita akibat pembukaan Felda kerana mereka tidak mendapat sebarang manfaat dan kini terpaksa berpindah atau dipindahkan daripada kampung halaman mereka secara paksa.

SK: Mengikut tinjauan dan pandangan Datuk, apakah tapak berkenaan sesuai dan tidak akan mengganggu ekosistem alam semula jadi dan jauh daripada penempatan manusia seperti yang didakwa?

YTL: Saya tertanya-tanya kepada diri saya sendiri, apakah ini ketelusan yang diamalkan oleh Kerajaan BN, seperti kata pepatah Melayu, telunjuk lurus kelingking berkait? Jika Kerajaan Negeri membatalkan pembinaan loji ini di Silam kerana berdekatan dengan Tapak Warisan Dunia, Lembah Danum dan Teluk Darvel serta Sandakan kerana berdekatan dengan Sepilok; apakah logiknya mendirikan loji ini yang terlalu dekat dengan Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin dan Hutan Simpan Paya Bakau Kuala Meruap serta Sungai Lasun? Apa akan jadi dengan Tabin yang telah diiktiraf sebagai Pusat Perlindungan Badak Sumbu Berpagar dan Koridor Gajah Pygmy? Jika Okinawa, Jepun berbangga dengan Hutan Paya Bakau yang separuh botak, tetapi bagaimana dengan aspek perlindungan Hutan Simpan Paya Bakau di Kuala Meruap yang bertaraf dunia dan sifar pencemaran?. Kenapa kawasan yang sebegini indah harus dimusnahkan? Begitu juga kawasan terumbu karang di Felda sehingga ke Tambisan akan musnah akibat pencemaran. Apakah Kerajaan Negeri dan Persekutuan sudah hilang akal?

SK: Mengikut pandangan Adun Tungku, Datuk Suhaili Said yang menyokong pembinaan loji ini yang diyakini akan dapat menyelesaikan isu kekurangan bekalan elektrik di pantai timur Sabah secara tuntas bagi merangsang pertumbuhan POIC dan Hub ternakan serta Industri Hiliran. Apa komen Datuk?

YTL: Pandangan beliau sama juga dengan pandangan seluruh adun dan ahli Parlimen BN yang hanya melihat kesan jangka pendek dan ‘habuan’ yang mereka terima daripada projek ini tanpa memikirkan kesan jangka panjang dan kesejahteraan rakyat. Apakah tidak ada cara lain untuk mendapatkan bekalan elektrik selain daripada loji janakuasa arang batu yang mendapat bantahan bukan sahaja rakyat Sabah malah penduduk di seluruh dunia? Kenapa kerajaan harus memaksakan apa yang tidak disukai rakyat? Kenapa kita tidak dapat menikmati bekalan daripada Projek Hidroelektrik Bakun sedangkan Kalimantan dan Semenanjung Malaysia yang menikmati faedahnya? Kenapa kita tidak gunakan sumber gas asli yang diangkut daripada perut bumi Kimanis ke Bintulu dan kita hanya menjadi pemerhati pembangunan sedangkan semua nikmat dinikmati oleh orang daripada luar Sabah.

SK: Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Taufik Abu Bakar Titingan pula menyifatkan pembinaan loji janakuasa 300 MW ini dapat menyelesaikan masalah kekurangan elektrik untuk tempoh jangka panjang dan yakin dapat memenuhi piawaian EIA dan selamat untuk beroperasi. Bantahan NGO dan pembangkang bukannya mencerminkan kehendak majoriti penduduk Sabah. Bagaimana pula pendapat Datuk?

YTL: Pandangan beliau ada benarnya tetapi beliau tidak mengetahui kesan yang akan dialami oleh 400,000 penduduk Lahad Datu yang akan menerima kesan pencemaran langsung daripada pembinaan loji ini. Sekalipun penduduk dahagakan bekalan elektrik yang merupakan sebahagian janji Sabah Baru Kerajaan BN, namun kini sudah 15 tahun janji tersebut diperbaharui setiap kali pilihanraya, tetapi mereka masih gagal menikmati kemudahan yang dijanjikan. Kini BN memaksa memaksa rakyat Sabah menerima penyelesaian mengikut cara mereka yang langsung tidak sesuai untuk rakyat Sabah. Kita telah membantah dan menolak dua kali pembinaan loji ini dan kini kerajaan Persekutuan menyalahguna kuasa mereka memaksa kita menerima loji yang kita telah tolak. Pandangan NGO dan pembangkang adalah pandangan majoriti rakyat Sabah dan bukan seperti didakwa Datuk Taufik. Jika tidak sesuai di Silam atau Sandakan, maka di Felda Sahabat juga tidak sesuai melainkan didirikan di sebuah pulau yang terasing yang jauh daripada manusia seperti Pulau Mengalum yang letaknya 30 batu nautika daripada Kota Kinabalu yang hanya menjadi ‘Mockery’ Pusat Kuarantin Ternakan Asia Tenggara sedangkan ianya tidak pernah digunakan sejak tumbangnya Kerajaan Berjaya.

SK: Boleh Datuk jelaskan lebih lanjut berhubung cadangan ini kerana ianya amat menarik jika pemimpin BN boleh berfikir seperti apa yang Datuk cetuskan sebentar tadi?

YTL: Terlintas di fikiran saya sebentar tadi bahawa adalah menjadi tugas kita untuk memastikan alam sekitar Sabah sentiasa terpelihara untuk generasi akan datang dan bukan hanya masyarakat yang ada pada hari ini sahaja. Jika Kerajaan Negeri Melaka menjalinkan kerjasama bestari dengan Kerajaan Indonesia untuk membina janakuasa arangbatu di Pranap, Indonesia yang berupaya membekalkan 3,000 megawatt, bukan 300 megawat seperti di Sinakut, kenapa Kerajaan Negeri Sabah tidak melakukan kegiatan yang serupa dengan memindahkan lokasi berkenaan ke Pulau Sibatik yang kurang penghuni atau gugusan pulau yang tidak dihuni manusia berdekatan Tarakan, Nunukan dan sebagainya? Projek bekalan elektrik Melaka ini akan melibatkan penyambungan kabel dasar laut sejauh 70 kilometer ke Melaka sedangkan jika ianya dibina di Pulau Mengalum atau Sebatik ianya tidak sampai 40 kilometer sebelum disambungkan ke sistem Grid pantai Timur dan Pantai Barat Sabah yang menelan belanja berbilion ringgit dan hanya menjadi hiasan atau Gajah Putih selama ini.

SK: Idea Datuk memang bernas namun mungkin gagal ditafsirkan dengan baik oleh pemimpin BN atas sebab tertentu. Namun bukankah SESB telah memberi jaminan bahawa kerja membina loji janakuasa arang batu di Felda Sahabat tidak akan dimulakan selagi Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) belum diperolehi?

YTL: Inilah yang dikatakan seperti pepatah Melayu, burung terbang dipipiskan lada. EIA belum lulus tetapi kerajaan mewar-warkan projek mega ini agar rakyat memberikan sokongan kepada Kerajaan BN yang hampir muflis dalam beberapa pilihanraya kecil yang lalu. Banyak cara mendapat bekalan elektrik dan bukan sahaja melalui arang batu. Kenapa mereka tetap pilih arang batu yang kita sudah tolak sebelum ini? Bilakah mereka mahu berfikir dan memberikan ruang kepada rakyat terus menghirup udara segar tanpa memusnahkan alam sekitar yang begitu indah dan aman damai di Sabah. Rakyat akan menderita jika janakuasa 300 megawatt ini menjadi kenyataan kerana sejumlah satu juta tan arang batu akan dibakar setahun yang bakal mendatang kesan kepada persekitaran dan mengancam jiwa manusia. Sama ada EIA diluluskan atau tidak bukan isu utama. Pada prinsipnya kita menolak loji janakuasa arang batu, maka kita akan tetap tolak sekalipun EIA mengesahkan ianya tidak mencemarkan alam sekitar kerana kesan jangka panjang di negara lain sudah cukup menakutkan kita. Kenapa rakyat harus dipaksa menerima gagasan yang akan memusnahkan masa hadapan dan nilai khazanah alam semula jadi yang akan kita serahkan dengan sempurna kepada generasi akan datang?

SK: Apa pandangan Datuk apabila Kerajaan mengumumkan bahawa Sabah tidak akan mendapat bekalan elektrik daripada Bakun sedangkan ianya dijanjikan sejak 1994?

YTL: Inilah silapnya Kerajaan BN yang lebih memakmurkan jiran dan mengutamakan negara asing sehingga menyusukan kera di rimba dalam keadaan anak mati kehausan di pangkuan. Pada 23 April 2009, ketika Najib melawat Jakarta, beliau mengumumkan tenaga elektrik daripada Bakun akan disalurkan ke Kalimantan dan Semenanjung Malaysia melalui kabel dasar laut selewat-lewatnya pada 2011. Kabel pertama dijangka menjana kuasa sebanyak 1,800 megawatt dari Sarawak ke Johor menjelang 2013 dan kabel kedua pada 2015. Kita terkejut kerana negara jiran, Brunei dijangka menerima sehingga 400 megawatt tenaga letrik menjelang 2013 melalui talian dari empangan Murum yang berkuasa 1,000 megawatt. Bagaimana dengan nasib rakyat Sabah yang akan terus bergelap? Apa yang rakyat Sabah dapat setelah merdeka 46 tahun? Mereka terus menderita menunggu janji yang tidak kunjung tiba. Sudahlah. Berhentilah membohongi rakyat. Tunaikanlah janji dengan apa juga cara, tetapi bukan loji janakuasa arang batu. Kita akan terus menentang dan memastikan hasrat BN untuk memusnahkan alam sekitar Sabah hanya menjadi mimpi di atas mimpi.

SK: Akhir sekali, apakah pesanan Datuk kepada Kerajaan Persekutuan dan rakyat Sabah berhubung isu ini?

YTL: Saya berharap agar Kerajaan Persekutuan berhentilah memaksa apa yang rakyat Sabah tidak suka dan berilah apa yang mereka suka. Projek ini bukanlah pilihan terbaik kerana kita masih ada sumber alam semula jadi dan teknologi hijau seperti kincir angin dan solar. Peliharalah alam semula jadi yang indah di Pantai Timur Sabah kerana untuk menghancurkan apa yang kita ada hanya mengambil masa yang singkat, namun untuk mengembalikan apa yang telah hilang daripada kita mengambil masa yang amat panjang dan kita mungkin kehilangan segala-galanya. Sehubungan itu, saya merayu agar batalkanlah projek ini dan carilah alternatif lain kerana mencegah kemusnahan adalah lebih baik dan mulia daripada memusnahkan alam sekitar yang kita ada. Dengarlah keluhan rakyat Sabah yang member keyakinan penuh kepada SAPP untuk memperjuang kan isu ini sehingga selesai. Kepada rakyat Sabah, terima kasih atas sokongan, dokongan dan kepercayaan kepada SAPP. Terima kasih sekali lagi kepada Sabahkini.net yang merupakan media rasmi suara rakyat Sabah.

Tiada ulasan: