Selasa, 27 Oktober 2009

Hadi minta Tun Mahathir tidak campuri urusan dalaman PAS

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diminta supaya tidak mencampuri urusan dalaman PAS kerana parti itu tahu menentukan kepimpinan mereka sendiri.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Dr Mahathir tidak mempunyai hak dalam soal untuk menentukan pemimpin mana yang akan terus menerajui parti itu.

"Itu bukan bukan hak dia. Kita parti yang boleh menentukan kepimpinan kita sendiri," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai nasihat Dr Mahathir kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya berundur bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.

Dr Mahathir berkata Nik Abdul Aziz perlu memahami bahawa kepimpinannya telah mula ditolak sama ada dari dalam mahupun luar parti yang memerlukan beliau berundur segera.

Sebaliknya Abdul Hadi tetap mempertahankan kedudukan Nik Abdul Aziz dalam PAS.

"Tak perlu, tak perlu (letak jawatan). Kita ada demokrasi dalam PAS, semua pihak boleh mengeluarkan pandangan dan selama ini pun sudah ada pandangan-pandangan ini dan kita dapat menyelesaikan masalah ini dengan baik," katanya.

Malah Abdul Hadi juga berkata Menteri Besar Kelantan itu berjaya memainkan peranannya sebagai Mursyidul Am dan Pengerusi Majlis Syura dengan baik.

"Beliau adalah Pengerusi Majlis Syura, beliau masih Pengerusi Majlis Syura dan dapat melaksanakan dengan cara yang sebaiknya," katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kehadiran Nik Abdul Aziz diperlukan pada mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat bersama barisan pesuruhjaya negeri yang akan diadakan malam esok, Abdul Hadi berkata perkara itu terpulang kepada tahap kesihatan dan kesibukan pemimpin itu.

"Terpulang kepada kesihatan beliau, kita meraikan kesihatan beliau, dan memahami kesibukan beliau kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sedang bersidang.

"Sudah cukup dengan beliau memberikan maklumat dan wakil-wakil Kelantan pun dah ada," katanya.

Bagaimanapun sebelum ini Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dilaporkan berharap Nik Abdul Aziz dapat menghadiri mesyuarat khas parti itu bagi membolehkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pesuruhjaya Negeri mendengar sendiri penjelasannya berhubung cadangan mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM).

Jumaat minggu lalu, Nik Abdul Aziz dalam blognya www.blogtokguru.com mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar ‘dua tiga kerat’ pemimpin parti itu yang bermasalah.

Tiga pemimpin yang dinamakan dalam blog beliau ialah Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa, Mustafa dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Tiada ulasan: