Khamis, 22 Oktober 2009

Empangan Kedua: Kerajaan negeri wajar dapat royalti

SIASAH DAILY


KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri perlu diberikan bayaran royalti oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mahu membina empangan kedua di Hulu Terengganu dalam masa terdekat.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Harun Taib berkata, ini kerana akan berlaku kemusnahan hasil hutan dan alam sekitar akibat pembinaan empangan tersebut.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu itu menambah, kerajaan negeri tidak mengambil kira perkara itu semasa pembinaan empangan yang pertama dahulu.

"Kalau dibina empangan kedua, kerajaan negeri perlu mengambil kira kerosakan yang berlaku dan perlu ada royalti," ujarnya ketika bercakap kepada media di pejabat PAS negeri, di sini, baru-baru ini.

Harun yang juga Adun Manir menambah, PAS berharap pembinaan kedua itu memberi faedah kepada negeri dari segi kewangan di samping ganti rugi yang lain.
PAS juga, katanya mencadangkan kerajaan negeri menyemak semula syarat perjanjian pembinaan empangan pertama dahulu agar turut mendapat hasil daripada jualan tenaga elektrik oleh TNB itu.

Naib Presiden (Sumber Manusia) TNB, Muhammad Razif Abdul Rahman berkata, empangan hidroelektrik yang akan dibina itu terletak di kawasan Sungai Tembat dan Sungai Puah dengan kapasiti 250 megawatt (MW).

Semasa memberitahu media di sini, baru-baru ini, beliau berkata masih terlalu awal untuk mendedahkan anggaran kos dan keluasan empangan berkenaan tetapi akan dimulakan dalam masa terdekat dan dijangka siap pada tahun 2014.

Empangan yang akan dibina di Sungai Tembat dan Sungai Puah itu merupakan empangan ketiga di negeri tetapi lebih kecil daripada empangan pertama iaitu Stesen Janaelektrik Sultan Ismail di Paka yang mengeluarkan tenaga dengan kapasiti 1,200 MW dan Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud di Tasik Kenyir dengan kemampuan 400 MW.

Siasah difahamkan dokumen rasmi berkaitan rancangan pembinaan projek hidroelektrik kedua di Hulu Terengganu telah dikeluarkan oleh TNB pada September 2008.

Ringkasan projek tersebut menggariskan rancangan kerajaan Pusat membina dua empangan di Sungai Terengganu Mati dan Sungai Puah, yang akan membentuk dua takungan menenggelamkan kawasan seluas 6,000 hektar (Takungan Puah) dan 130 hektar (Takungan Tembat).

Cadangan pembayaran royalti hasil tenaga elektrik yang dijana oleh TNB pernah dikemukakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 2003 berikutan ura-ura pembinaan projek hidroelektrik kedua oleh TNB di negeri ini.

Beliau menyifatkan ia adalah wajar memandangkan negeri ini merupakan antara negeri yang termiskin di Malaysia

Justeru, kemusnahan kekal hutan dan alam sekitar yang akan berlaku ke atas khazanah hutan simpan Tembat dan Petuang, TNB wajar memperuntukkan dan mengagihkan íroyaltií kepada rakyat dan kerajaan negeri kerana bakal meraih keuntungan berterusan ratusan juta ringgit hasil daripada penjanaan tenaga elektrik itu.

Tiada ulasan: