Khamis, 1 Oktober 2009

Bagan Pinang: Muslimat susun strategi dekati pengundi senyap

Hazayani Zakaria


TELUK KEMANG : Jentera pilihanraya muslimat (HalWa) Negeri Sembilan akan memberi fokus untuk mendekati pengundi senyap di Bagan Pinang iaitu pengundi yang tidak mempamerkan kecenderungan mereka kepada mana-mana parti.

Pengurus petugas kempen HalWa Negeri Sembilan, Rosenadiah Zainuddin berkata jentera Halwa sedang mengatur strategi supaya pengundi menyedari kehadiran PAS di kawasan itu dengan mengadakan pelbagai program berbentuk kemasyarakatan agar pengundi berasa lebih dekat dengan PAS.

"Ramai pengundi senyap di kalangan Melayu.Kaji selidik PRU 2008 menunjukkan dua kali peningkatan undi Melayu berbanding pada 2004. Maksudnya sokongan daripada pengundi melayu di Bagan Pinang selain undi pos pada tahun 2008 memang dah meningkat. Yang kita risau sekarang ini ialah pengundi pos."katanya sewaktu ditemui di bilik gerakan HalWa, dekat sini.

Menurut beliau yang juga Naib Ketua Muslimat PAS negeri, kempen jentera HalWa juga akan tertumpu kepada usaha memberikan kesedaran kepada pengundi di Bagan Pinang agar berani membuat perubahan dengan mengundi PAS pada pilihanraya kecil kali ini.

ImageIni kerana berdasarkan kaji selidik yang dilakukan jentera HalWa, ramai pengundi khususnya pengundi Melayu menunjukkan kebencian terhadap kepimpinan Umno Barisan Nasional namun tidak bersedia untuk meninggalkan parti itu.

"Daripada kaji selidik yang kami buat, jelas nampak pengundi di sini tidak suka BN tetapi untuk mengalihkan sokongan kepada parti lain, mereka belum bersedia."

"Masalah utama di sini, kesedaran politik sangat kurang baik penyokong BN atau PAS sendiri. Mereka malas nak fikir pasal politik. Walaupun mereka tahu BN salah, mereka tetap undi. Mereka segan nak tukar kepada PAS."Ujarnya.

Beliau berkata, pengundi India menunjukkan sikap yang sebaliknya. Mereka lebih terbuka dalam berfikir mengenai politik dan lebih senang untuk didekati berbanding pengundi Melayu.

Menyentuh mengenai persiapan jentera HalWa negeri , beliau memberitahu jentera HalWa sudah bersedia di setiap unit peti undi (UPU) di kawasan itu dan setakat ini beberapa upu sudah bergerak untuk proses culaan.

"Kami dah siapkan program untuk setiap UPU bermula hari penamaan sehinggalah ke hari hari mengundi. Ada muslimat yang dah datang membantu antaranya daripada Kelantan, dan Terenganu."Ujarnya lagi.

Jentera HalWa juga kata Rosenadiah menyokong penuh Zulkefly Mohd Omar sebagai calon memandangkan pesuruhjaya Negeri Sembilan itu mempunyai hubungan akrab dengan penduduk yang pelbagai kaum.

"Kami sangat setuju beliau jadi calon. Beliau mempunyai hubungan yang sangat bagus antara semua kaum. Kalau beliau pergi mana-mana memang orang suka."Tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Muslimat Negeri Sembilan, Fazilah Abu Samah menyeru agar seluruh muslimat dari setiap negeri turun membantu kempen di Bagan Pinang yang akan bermula selepas proses penamaan calon 3 Oktober ini.

"Besarlah harapan kami agar setiap negeri menghantar petugas mereka dengan kadar yang segera kerana kami di sini masih kekurangan petugas sepenuh masa."

"Kami juga ucap terima kasihlah kepada negeri yang sudah menghantar petugasnya."Tambahnya.

Terdahulu, beberapa ahli jawatankuasa muslimat negeri yang diketuai Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat, Kartini Ahmad mengadakan ziarah Aidilfitri ke rumah seorang warga emas berketurunan Tiong Hua di UPU Taman Eastern.

Tiada ulasan: