KETIBAAN seramai 4,252,997 pelancong antarabangsa direkodkan pada separuh tahun pertama tahun 2020 iaitu penurunan sebanyak 68.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Sebagai perbandingan, Malaysia menarik seramai 13.3 juta pelancong antarabangsa dari Januari hingga Jun 2019.
Perbelanjaan pelancong bagi separuh tahun pertama 2020 merekodkan RM12.5 bilion, iaitu penurunan sebanyak 69.8 peratus ber
banding RM41.6 bilion pada tempoh yang sama pada 2019.
Tourism Malaysia berkata, perbelanjaan perkapita pula turut mencatat penurunan 5.3 peratus daripada RM3,121.60 pada tahun 2019 ke RM2,956.10 pada tahun ini.
Jelasnya, 10 pasaran utama ke Malaysia adalah Singapura (1,541,820), Indonesia (702,082), China (401,285), Thailand (348,133), India (153,873), Brunei (135,593), Korea Selatan (118,594), Jepun (73,201), Australia (72,103) dan Filipina (64,311).
"Sektor pelancongan negara juga merekodkan perkembangan negatif bagi setiap pasaran mengikut rantau iaitu pasaran jarak dekat atau ASEAN (-69.1%), pasaran jarak sederhana (-69.0%) dan pasaran jarak jauh (-58.8%).
"Ketibaan pelawat harian di Malaysia pula mencatatkan sejumlah 1,712,140 pelancong dari Januari hingga Jun 2020, iaitu penurunan sebanyak 64.2 peratus berbanding dengan 4,782,587 pelancong yang melawat Malaysia bagi tempoh sama pada tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan media itu turut menjelaskan, penurunan yang ketara bagi jumlah ketibaan pelancong dan pelawat harian itu adalah disebabkan faktor penutupan pintu-pintu sempadan Malaysia berikutan penularan pandemik Covid-19.
"Selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai satu pandemik pada 11 Mac, kerajaan Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang kemasukan pelancong antarabangsa sejak 18 Mac.
"Kesan pandemik kepada sektor pelancongan turut dilihat di luar sempadan Malaysia, di mana negara-negara ASEAN lain juga merekodkan penurunan mendadak dari segi pencapaian pelancongan.
"Menurut sumber dari Pacific Asia Travel Association (PATA), negara-negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia juga mencatatkan pertumbuhan negatif disebabkan larangan perjalanan antarabangsa yang dikuatkuasakan kerajaan dalam usaha membendung penularan pandemik di negara masing-masing," katanya.
No comments:
Post a Comment