Friday, November 6, 2020

‘Saya masih sendiri, belum kahwin lagi’

Oleh ALIF FADLI
 
Erra Fazira akui masih solo

KUALA LUMPUR: Berita yang tular kononnya ‘Erra Fazira’ sudah bernikah pagi semalam dianggap sebagai hikmah buat primadona filem Melayu itu kerana sebelum ini ramai yang bertanya benarkah dia sudah berkahwin secara diam-diam.

Erra Fazira, 47, berkata dia masih lagi sendiri dan khabar angin kononnya sudah bernikah adalah tidak benar sama sekali.

“Ada hikmah apabila cerita ‘Erra Fazira’ kahwin pagi tadi tular. Sekarang orang tahu desas-desus saya sudah jadi isteri orang adalah tidak benar. Saya masih solo.

“Tapi soal jodoh ini, saya sendiri mahu jawapan itu. Buat masa sekarang, kalau ada jodoh itu nanti biarlah kekal hingga akhir hayat. Kalau tidak ada, tak mengapa,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kecoh dunia hiburan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memuat naik ucapan tahniah kepada Erra Fazira ketika mengadakan tinjauan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) majlis akad nikah oleh pihak berwajib di Facebooknya.

Perkongsian itu tular sehingga ramai yang menyangka pengantin perempuan tersebut adalah pelakon filem popular tersebut namun, Dr. Zulkifli dalam perkongsian lain menjelaskan wanita itu bukan aktress hebat, Erra Fazira.

Mengulas ‘berita’ itu, Erra pada mulanya terkejut apabila ramai yang bertanyakan soalan itu kepadanya pagi semalam namun, apabila tahu itu sekadar gurauan, dia menganggap itu satu perkara yang lucu.

“Terkejut mulanya, tetapi apabila tahu itu satu gurauan oleh seorang menteri, jadi lucu pula. Saya tidak rasa ralat langsung. Hidup kalau serius sangat pun tak seronok.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Erra Fazira dan suami di atas pernikahan kalian. Semoga ikatan yang dibina kekal hingga syurga,” katanya.- UTUSAN ONLINE

No comments: