Friday, November 6, 2020

Pisang dengan 5 khasiat pentingnya

Bukan hanya sedap dimakan, pisang juga kaya dengan pelbagai khasiat.

Pisang boleh ditemui di hampir semua negara di dunia, apatah lagi di negara Asia Tenggara seperti Malaysia di mana buah ini berasal. Ia sesuai dihidangkan pada setiap waktu dan acara. Selain enak dimakan, pisang juga kaya dengan pelbagai khasiat antaranya karbohidrat, kalium, magnesium, selenium, zat besi dan vitamin.

Pisang juga kaya dengan vitamin B6 yang diperlukan untuk kesihatan mental seseorang. Kekurangannya boleh membuatkan seseorang itu mudah letih dan marah serta susah tidur.

Jom lihat apakah khasiat lain:

1. Mengawal kadar gula dalam darah
Buah pisang kaya dengan serat. Ia membantu melambatkan penghadaman dan penyerapan makanan ke dalam darah. Ini akan mengekalkan gula pada kadar yang lebih stabil dan mengelakkan lonjakan gula secara tiba-tiba.

Namun, ini mungkin tidak terpakai untuk penghidap diabetes. Mereka harus mengelakkan mengambil banyak pisang yang masak penuh.

2. Meningkatkan sistem penghadaman
Serat di dalam buah ini juga turut membantu mempertingkat keberkesanan sistem penghadaman. Najis akan menjadi lebih lembut dan pergerakan usus bertambah baik. Sembelit dapat dikurangkan.

3. Membantu penurunan berat badan
Buah pisang merupakan makanan yang mengandungi rendah kalori dan tinggi serat. Dua faktor ini menjadikan ia pilihan yang baik untuk dimasukkan ke dalam diet and bagi mengurangkan berat badan.

Ia membantu memberikan kekenyangan dalam tempoh yang lebih lama. Ini membantu mengurangkan pengambilan makanan secara berlebihan.

4. Sihat untuk jantung
Buah ini sangat popular dengan kandungan potassium, meskipun terdapat banyak lagi buah lain yang mengandungi potassium lebih tinggi seperti kurma dan durian. Walau bagaimanapun, potassium yang terkandung di dalamnya adalah penting untuk fungsi jantung.

Potassium yang mencukupi membantu jantung mengepam darah dengan sihat dan sekata. Namun, elakkan mengambil buah ini secara berlebihan jika mempunyai masalah buah pinggang.

5. Mengandungi antioksidan
Antioksidan adalah sangat penting untuk memastikan proses penuaan yang berlaku pada sel-sel di dalam badan tidak berlaku terlalu pantas. Penuaan tidak dapat dielakkan tetapi boleh dikawal.

Penuaan bukan sekadar untuk kekal cantik tetapi juga kekal sihat. Bukan sekadar kulit luaran, sel-sel pada organ dalaman turut mengalami penuaan.

Antioksidan dalam pisang seperti dopamine dan catechins mengurangkan risiko penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung.

Tunggu apa lagi? Jadikan pisang hidangan berkala anda hari ini!

(*) Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

No comments: