Monday, November 2, 2020

Pertemuan dengan PM amalan biasa sebelum sidang Parlimen – Wee Ka Siong

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF01112020_PERJUMPAAN-PERIKATAN-NASIONAL_03
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berbual bersama Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainudin (kiri) ketika hadir perjumpaan ketua-ketua parti dalam Perikatan Nasional di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) enggan memberikan respon berhubung pertemuan mereka dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Hotel Hilton hari ini.

Mereka masing-masing lebih selesa mengunci mulut daripada mengulas intipati pertemuan itu meskipun diasak pelbagai soalan daripada pihak media.

Pertemuan pada hari ini berlangsung menerusi dua sesi dengan yang pertama merupakan mesyuarat pra-parlimen dan pada sebelah petang perjumpaan dengan ketua-ketua whip kerajaan.

Beberapa ahli Parlimen kerajaan yang beredar selepas pertemuan itu hanya melemparkan senyuman kepada sekumpulan wartawan dan jurugambar yang membuat liputan berhubung pertemuan tersebut.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika ditemui memberitahu, pertemuan yang diadakan pada hari ini adalah perkara biasa sehari sebelum Parlimen bersidang.

MGF01112020_PERJUMPAAN-PERIKATAN-NASIONAL_09
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika hadir perjumpaan 
ketua-ketua parti dalam Perikatan Nasional di Hotel Hilton, 
Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL,

“Mesyuarat semacam ini biasa bagi kami sebelum sidang Parlimen bermula. Ia memang diamalkan sejak dulu lagi dan adalah beberapa perkara dibincangkan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba seawal pukul 12.20 tengahari untuk dan kemudian disusuli beberapa ahli Parlimen kerajaan termasuk ketua-ketua whip.

Sebelum itu beberapa pemimpin parti seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba lebih awal.

Ia kemudiannya diikuti dengan kehadiran Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili; Presiden STAR, Datuk Dr Jeffry Kitingan; Presiden PBRS, Datuk Seri Panglima Joseph Kurup; Presiden SAPP, Datuk seri Panglima Yong Teck Lee dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. – MalaysiaGazette

No comments: