Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) memfailkan permohonan untuk mencelah dalam saman berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk tidak menerima permintaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi mengisytiharkan darurat.
Persatuan itu memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini.
Pada 30 Okt lalu, peguam Syed Iskandar Syed Jaffar memfailkan tindakan undang-undang untuk mahkamah menentukan sama ada Agong mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun perdana menteri menasihatkan sebaliknya.
Pada 25 Okt, dilaporkan Agong tidak menerima permintaan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat atas sebab kerajaan Perikatan Nasional telah berjaya menangani wabak Covid-19 dengan berkesan.
Menurut salinan permohonan untuk kebenaran mencelah itu, pencelah dicadangkan adalah setiausaha agung PPMM, Ridha Abdah Subri.
Menurut kertas kausa, PPMM menyatakan ingin memohon kebenaran mencelah kerana antara matlamatnya adalah untuk memelihara kedaulatan undang-undang dan keluruhan Perlembagaan Persekutuan (undang-undang tertinggi Malaysia).
Persatuan itu mendakwa ia juga ingin mencelah kerana anggotanya terlibat secara langsung dalam banyak proses rundingan dan konsultasi yang menyentuh mengenai isu undang- undang dan Perlembagaan, selain turut memberi nasihat kepada pelbagai entiti termasuk majlis-majlis agama Islam di beberapa negeri mengenai kedudukan dan tafsiran Perlembagaan Persekutuan.
PPMM mendakwa persatuan itu mahu mencelah kerana plaintif menyentuh mengenai tiga cabang iaitu eksekutif, lesgislatif dan kehakiman, yang mana Agong berfungsi sebagai cabang tunjang bagi semak dan imbang dalam konsep pemisahan kuasa di Malaysia.
"Justeru sebagai pertubuhan yang dianggotai oleh pengamal undang-undang serta terlibat langsung dalam proses keadilan di negara ini, termasuk menasihati pelbagai entiti majlis-majlis agama di beberapa negeri, maka PPMM mempunyai kepentingan sah undang-undang (legal interest) untuk menjadi pihak dalam tindakan ini," menurut permohonan itu
Persatuan itu menambah bahawa ia juga berusaha untuk mencelah kerana mendakwa kerajaan, yang merupakan satu-satunya defendan dalam saman itu, memiliki kepentingan untuk menyokong saman plaintif.
PPMM mendakwa ini kerana Peguam Negara, Idrus Harun, yang mengetuai Jabatan Peguam Negara (AGC), turut bersama rombongan perdana menteri dan kabinet yang telah menghadap Agong berhubung permintaan mengisytihar darurat.
Persatuan itu mendakwa bahawa perkara ini bertembung kepentingan kerana AGC mewakili kerajaan dalam saman tersebut.
"PPMM seperti mana yang telah diperincikan latar belakangnya, berhak antara lain, untuk diberikan kedudukan sebagai pencelah seperti yang dipohon di sini bagi tujuan menentukan, demi proses keadilan asasi, untuk menyampaikan keterangan dan/atau hujahan bagi tujuan menyokong keputusan Yang di-Pertuan Agong tersebut, ”kata persatuan itu.
No comments:
Post a Comment