Wednesday, November 4, 2020

Najib terus desak kerajaan beri bantuan bilion ringgit pada Sabah

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata Petronas sebelum ini sudah meluluskan
 dividen tambahan RM10 bilion kepada kerajaan untuk membantu memerangi wabak.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak terus mendesak kerajaan supaya memberi bantuan bilion ringgit kepada Sabah yang terjejas teruk dengan gelombang ke-3 Covid-19.

Pemimpin Umno itu menarik perhatian pembacanya di Facebook kepada bayaran Petronas kepada Putrajaya, mengatakan syarikat minyak nasional itu sudah meluluskan dividen tambahan sebanyak RM10 bilion kepada kerajaan untuk membantu memerangi wabak, menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima RM34 bilion tahun ini.

Katanya lagi, Petronas juga boleh bayar RM2.9 bilion kepada kerajaan Sarawak sebagai cukai jualan petroleum.

“Tapi Petronas atau kerajaan pusat tak boleh bayar sekurang-kurangnya RM1 bilion kepada kerajaan Sabah untuk bantuan segera, termasuk untuk membayar tambahan RM1,000 untuk Bantuan Perihatin Nasional (BPN) khusus untuk Sabah?” soalnya.

Najib memberikan 3 alasan menjelaskan kenapa Sabah layak terima bantuan bilion ringgit, antaranya Sabah paling terkesan dalam gelombang ke-3 Covid-19, dan negeri itu juga paling lama dilaksanakan perintah kawalan pergerakan.

“Sabah antara negeri dengan kadar kemiskinan paling tinggi dan bertambah lagi teruk apabila kadar pertumbuhan ekonomi turun dari kadar 8.2% iaitu paling tinggi antara semua negeri pada 2017 bawah BN ke paling rendah antara semua negeri untuk 2 tahun berturut-turut (2018: 1.5%, 2019: 0.5%) bawah PH Plus dan Warisan.

“Sebab itu, Sabah perlukan bantuan segera yang cukup besar agar jurang pendapatan dan pembangunan antara Sabah dengan negeri-negeri lain tidak bertambah besar.”

Atas alasan itu, Najib menegaskan Sabah perlu bantuan segera yang cukup besar.Pemimpin Umno itu sebelum ini mencadangkan bantuan tambahan wang tunai sebanyak RM1,000 keapda golongan B40 dan M40 di Sabah yang diluluskan untuk menerima BPN sebelum ini.

No comments: