LIPIS: Lima kedai kayu dua tingkat sederet binaan tahun 40-an di Kampung Baru, Benta, di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 8 malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan, berkata Pusat Gerakan Operasi telah menerima panggilan daripada MERS 999 pada jam 8 malam.
Beliau berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Lipis dan BBPRaub serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gali bergegas ke tempat kejadian dengan jarak 20 kilometer dan tiba di lokasi dalam beberapa minit kemudian.
"Seramai empat pegawai dan 19 anggota serta tiga orang daripada PBS Galidengan menggunakan tiga jentera bomba terbabit dalam usaha memadam kebakaran itu.
"Kebakaran dapat dikawal jam 8.46 malam. Bangunan berkeluasan 100 kaki x 60 kaki itu dianggarkan 90 peratus telah musnah," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam perjalanan balik ke Kuala Lipis, sempat singgah melawat mangsa kebakaran itu.
Beliau berterima kasih kepada bomba dan semua pihak yang terbabit dalam membantu mengawal keadaan serta bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa.
No comments:
Post a Comment