Syor peniaga Cina buang nama berkait Islam, tulisan Jawi di produk
BANGI – Semua bangsa dan agama bebas berniaga serta mengamalkan hak kebebasan bersuara selagi ia tertakluk dalam Perlembagaan dan tidak menggugat keharmonian kaum.
Ia termasuklah kebebasan untuk kaum lain melancarkan kempen perniagaan mereka sendiri, seperti Buy Chinese First (BCF) yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris menyifatkan, kempen berkenaan secara tidak langsung membantu umat Islam mengenal pasti produk muslim dan sebaliknya.
“Kita melihat ianya sebagai ‘fair campaign’ kerana ia jelas pada kaca mata pembeli untuk mengetahui produk atau perniagaan itu dari jenis dan jenama barangan dari mana atau siapa.
“Kita sebagai umat Islam yang sangat mementingkan halal dan haram pada sesuatu yang kita makan dan minum, dengan kempen ini juga akan dapat menghindari daripada terbeli barangan yang tidak pasti status halalnya,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial video mempromosikan kempen BCF yang mengajak orang Cina menyokong produk dan jenama milik mereka di Malaysia.
Video berdurasi 1 minit 23 saat itu memaparkan, produk yang dikendalikan oleh pengusaha berbangsa Cina seperti Manhattan Fish Market, Munchy’s, Farm Fresh, Bonia dan Secret Recipe.
Susulan memperkenalkan jenama terkenal berkenaan, video itu mendakwa kononnya sumbangan orang Cina kepada Malaysia sangat signifikan, namun mendakwa mereka selalu ditindas.
Untuk kempen BCF lebih efektif, Haji Rashidi mencadangkan supaya pemilik perniagaan kaum Cina membuang logo atau jenama yang melambangkan Islam atau mempunyai tulisan Jawi.
“Kita orang Melayu sememangnya tahu sejak dahulu lagi kaum Cina telah pun ditanam semangat mengutamakan produk bangsa mereka dan tolak apa-apa produk Melayu sehinggakan tidak sesekali mereka akan masuk ke kedai kita.
“Bagi kamu dari MUAFAKAT ianya kempen bagus supaya jangka panjang kita akan dapat mendidik anak bangsa orang Melayu membezakan produk-produk keluaran Melayu, Islam dan golongan kafir,” katanya.
No comments:
Post a Comment