Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menyarankan warga asnaf yang belum memiliki atau membuka akaun bank agar segera berbuat demikian bagi tujuan mempermudahkan penyaluran sumbangan sekiranya berlaku sebarang pengulangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di masa yang akan datang.
Baginda menambah bahawa adalah lebih mudah sekiranya warga asnaf mempunyai akaun bank untuk menerima sumbangan daripada pelbagai agensi termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
“Berdasarkan pengalaman ketika pelaksanaan PKP yang lalu, penyaluran sumbangan akan lebih cepat, mudah dan selamat apabila sumbangan disalurkan melalui akaun bank masing-masing memandangkan terdapat halangan untuk bergerak dan berkumpul,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri ‘Program Sembelihan Korban CSR melalui MAIPs 2020’ yang dilaksanakan di Pejabat MAIPs di Kangar semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor serta para pegawai kanan Majlis.
Sebanyak 1,700 daging dan karkas korban diagihkan kepada 15 buah maahad tahfiz dan rumah kebajikan di seluruh negeri Perlis selain disumbangkan kepada Taman Desa Asnaf Batu Bertangkup serta beberapa buah masjid terpilih.
Untuk rekod, saban tahun MAIPs menerima sumbangan lembu korban yang dilaksanakan oleh pihak korporat dan juga orang perseorangan dan pada tahun ini antara yang bermurah hati ialah RHB Bank dan Eastern Agro Farm memberikan sumbangan lembu untuk diagihkan kepada masyarakat.
Pada kesempatan yang sama, menyentuh mengenai status semasa penularan pandemik Covid-19, baginda mengingatkan seluruh rakyat supaya sentiasa memakai pelitup muka (mask) semasa hendak keluar rumah. – SM
No comments:
Post a Comment