SELAYANG – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MSM) menjangka purata harga minyak sawit antara RM2,500 ke RM2,600 satu tan menjelang hujung tahun ini.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, unjuran itu berdasarkan permintaan tinggi bagi minyak sawit mentah khususnya dari Afrika, Filipina dan Timur Tengah.
Beliau berkata, selain itu terdapat peningtakan permintaan MSM dari India yang menjadi penyumbang kepada peningkatan komoditi itu.
Jelas beliau walaupun berdepan Covid-19, sektor perladangan dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mendorong kepada bekalan stok minyak sawit mentah negara.
“Kita di Malaysia diberi kelonggaran untuk beroperasi, itu kelebihan kita. Jadi kita berlaku Covid-19, kita masih mengeluarkan hasil iaitu buah tanda segar dan minyak refined. Jadi kita ada stok.
“Jadi, sebaiknya berakhirnya pandemik (PKP), kita terus program pemasaran kita dan alhamdulillah berlaku peningkatan yang agak besar ke atas permintaan minyak sawit kita.
“Kita yakin sampai ke hujung tahun kita akan lebih berjaya dan kita sasarkan untuk tahun 2020, sebanyak RM65 billion hingga RM70 billion kita punya eksport ke luar negara berbanding pada tahun lepas sekitar RM63 billion, itu jangkaan kitalah” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan mesin ventilator dan Test Kit Covid-19 kepada Hospital Besar Selayang oleh kementeriannya di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) baru-baru ini bahawa industri minyak sawit dijangka pulih sepenuhnya pada suku keempat tahun ini sekiranya pandemik COVID-19 dapat dikawal dan dikekang.
CPOPC yakin peningkatan dalam pasaran mungkin akan berlaku susulan dasar monetori yang longgar dilaksanakan kebanyakan bank-bank pusat dan pakej rangsangan kerajaan.
Sehingga semalam, harga fizikal untuk sawit berada di paras RM2,860 untuk satu tan manakala harga bagi MSM kontrak niaga hadapan kini berada di paras RM2,689 dan RM2,850.
Ia susulan peningkatan terhadap komoditi itu di pasaran global yang semakin baik disokong oleh penurunan pengeluaran selepas penularan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment