MALAYSIAKINI
Terdapat 27 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kegagalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali mematuhi perintah wajib kuarantin Covid-19 selepas pulang dari luar negara.
Justeru itu, Timbalan Pengarah (Siasatan/ Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan Bernama TV berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung perkara berkenaan.
Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia. (KKM) telah mengenakan kompaun RM1,000 kepada Khairuddin setelah didapati ingkar arahan kuarantin 14 hari selepas pulang dari luar negara.
Bagaimanapun hukuman tersebut mendapat kritikan kerana dikatakan tidak setimpal dan berat sebelah ekoran jawatannya dalam kabinet.
Malah, Anggota Majlis Tertinggi Umno, Dr Puad Zarkashi juga berkata tidak wajar menteri itu hanya dikenakan kompaun dan Khairuddin perlu didakwa di Mahkamah.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menyerahkan kepada pihak berkuasa jika ingin mendakwa Khairuddin lagi.
Jelasnya, keputusan kompaun RM1000 itu dibuat berdasarkan Akta Pencegahan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
“Yang itu (denda RM1,000) sudah diselesaikan. Tan Sri DG (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dah komen dalam twitter.
“Kita telah tengok pelbagai sudut untuk kompaun maksimum RM1,000 di bawah Akta 342, kalau ada (pihak berkuasa) nak dakwa lain itu terpulang,” katanya seperti dipetik portal Utusan Online hari ini.
Pada 18 Ogos lalu, Anggota Parlimen Seputeh, Teressa Kok mendedahkan bahawa Khairuddin telah pulang dari Turki pada 7 Julai namun tidak menjalani kuarantin dan menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Menurut peraturan yang ditetapkan, mereka yang pulang dari luar negara perlu melakukan ujian swab dan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari
No comments:
Post a Comment