WRIT saman pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff kepada 10 orang pemimpin DAP, 10 orang pemimpin Amanah dan dua buah portal telah dikeluarkan secara serentak oleh mahkamah pada 28 Julai lalu.
Menurut Kamarul Zaman, writ saman itu membuktikan bahawa beliau tegas dalam tindakan untuk menyaman kesemua mereka yang didakwa telah memfitnahnya di media sosial dan artikel dalam talian sejak tahun 2017
“Kepada mereka yang mempermain-mainkan tindakan saya menyaman 10 pemimpin DAP, 10 pemimpin Amanah dan dua portal berita, sukacita saya maklumkan bahawa writ saman terhadap mereka telah dipohon dan dikeluarkan oleh mahkamah secara serentak pada 28 Julai lalu,” kata Kamarul Zaman,
Pemimpin DAP yang menerima writ saman tersebut adalah Lim Kit Siang, Teresa Kok Suh Sim, Chong Chieng Jen, Wong Kah Woh, Lim Lip Eng, P. Ramasamy, Syerleena Abdul Rashid, Arifin S M Omar, Abdul Aziz Isa Marindo dan Mohd Farid Bin Mohd Azmi.
Manakala pemimpin Amanah yang menerima writ saman daripada Kamarul Zaman adalah Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, Khalid Abdul Samad, Mohamed Hanipa Maidin, Zolkharnain Abidin, Jamzuri Ardani, Mohd Fitri Bin Asmuni, Wan Anwar Wan Ibrahim, Siti Fatihah Salahuddin, Abdul Rahman Abdul Talib dan Hussin Jan.
Dua portal berita yang disaman adalah Dateline Media Group Sdn Bhd dan wartawan portal itu Arif Atan serta MKini DotCom Sdn Bhd dan wartawan portal tersebut, Steven Gan.
“Kepada semua defendan, sukalah saya ingatkan bahawa saya tidak akan sama sekali merasa gentar mahupun berundur walaupun anda semua adalah diwakili oleh para peguam yang mempunyai nama-nama besar,” kata Kamarul Zaman.-SM
No comments:
Post a Comment