Saturday, August 8, 2020

Pekerja kilang maut tersepit mesin acuan

Bernama

dead
Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Seorang pekerja kilang maut selepas tangan dan kepalanya tersepit pada mesin membuat acuan dalam kejadian di sebuah kilang di Jalan Bukit Gedung, Bayan Lepas dekat sini awal pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang berkata dalam insiden pukul 4 pagi itu, mangsa Zaid Berahim, 33, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit pada mesin  berkenaan.

“Bomba menerima panggilan kecemasan memaklumkan terdapat seorang pekerja kilang tersepit pada mesin membuat acuan dan sepasukan bomba terus bergegas ke lokasi sebelum menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mangsa namun lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di kilang tersebut bagi membantu operasi menyelamatkan pekerja berkenaan.

Katanya, operasi menyelamat ditamatkan pada 6.32 pagi dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette

No comments: