Friday, August 21, 2020

Mahkamah bebaskan Siti Kassim atas dakwaan halang tugas pegawai JAWI

Hidayat Shukor
MGF21082020_SITI-KASIM-MAHKAMAH05-681x454
Peguam, Siti Zabedah Kasim bercakap kepada media selepas 
dibebaskan atas pertuduhan menghalang penguatkuasa Jabatan 
Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menjalankan 
kerja mereka dalam satu majlis anjuran kumpulan transgender
pada 2016 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto 
HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini telah melepaskan dan membebaskan peguam kontroversi, Siti Zabedah Kassim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim di sini hari ini.

Siti Kassim sebelum ini didakwa atas kesalahan dengan sengaja menghalang Pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menjalankan tugas menjalankan kerja mereka dalam satu majlis anjuran kumpulan transgender.

Hakim Mahkamah Majistret, Tawfiq Affandy Chin memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Siti Kassim.

Sebelum itu, pada 23 Jun 2017, Siti Kassim mengaku tidak bersalah sebaliknya mahu dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Sebuah serbuan tersebut dilakukan pada satu acara transgender pada April 2016 di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur di mana Siti Kasim hadir sebagai tetamu.

Sebanyak enam orang saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan dan setelah penelitian terhadap keterangan saksi dan beberapa bukti namun pendakwaan gagal membuktikan dakwaan terhadap Siti Kassim.

Siti Kassim dikatakan telah memperkenalkan dirinya sebagai seorang peguam yang dijemput oleh penganjur ketika serbuan dilakukan oleh Pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan memberikan kerjasama yang baik kepada pegawai JAWI.

“Dalam keterangan saksi juga mengatakan Siti Kassim telah memberikan kerjasama yang baik apabila pegawai JAWI meminta semua untuk duduk dan Siti Kassim juga memberikan kerjasama tanpa sebarang halangan,” kata Tawfiq.

Dalam pada itu, Siti Kassim ketika keluar dari bilik bicara sempat menunjukkan tanda bagus sambil tersenyum kepada wakil-wakil media.

MGF21082020_SITI-KASIM-MAHKAMAH02-1024x683
Peguam, Siti Zabedah Kasim berjalan keluar selepas dibebaskan 
atas pertuduhan menghalang penguat kuasa Jabatan Agama 
Islam Wilayah Persekutuan menjalankan kerja mereka dalam 
satu majlis anjuran kumpulan transgender pada 2016 di 
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL

Ketika ditemui, aktivis itu berkata, keputusan oleh mahkamah adalah satu kemenangan besar yang mendapat keizinan Allah kepadanya.

“Saya dari awal tidak perlu didakwa atas kes ini malah ada saksi memberi keterangan polis mendapat arahan dari ‘atas’ menuduh saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

No comments: