Monday, August 3, 2020

Kes kematian Allahyarham Adib: Saksi baharu mungkin dipanggil – Zuraida

Muhammad Azizul Osman
MGF03082020_ZURAIDAH-KORBAN-14-681x453
Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin
bercakap kepada media selepas Program Korban Aidiladha JBPM 2020
di perkarangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Putrajaya.
foto MOHD ADZLAN,

PUTRAJAYA – Saksi-saksi baharu bagi membantu polis dalam siasatan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim pada dua tahun lalu akan dipanggil.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menegaskan kementeriannya yang bertanggungjawab menjaga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membantu pihak penyiasatan.

“Kita minta kali ini dipertingkatkan lagi siasatan dan diteliti lagi semula dan ada saksi-saksi baru yang boleh dipertimbangkan,” katanya ketika ditanya media selepas menghadiri Program Qurban Aidiladha di ibu pejabat JBPM hari ini.

Menurut Zuraida, ia ekoran keputusan Koroner Mahkamah Rofiah Mohamad pada September tahun lalu memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Malah Zuraida Kamaruddin turut berkata, pihaknya tiada masalah berhubung hal itu dan pihaknya akan membantu polis yang mencadangkan mahu mengkaji semula saksi-saksi kes tersebut.

Rofiah pada September tahun lalu berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian, boleh diterima serta ada asas, selain ia disokong saksi ke-30 yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Beliau berkata, pihaknya turut menolak teori dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dilanggar.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Ampang itu turut berkata pihak KPKT akan menyentuh mengenai mengenai siasatan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib dalam sesi penggulungan Menteri di Dewan Rakyat esok.

“Tunggu esok, saya akan gulung perbahasan di Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya. – MalaysiaGazette

No comments: