Saturday, August 8, 2020

Kes Adib: Hamzah patut ulas keputusan Koroner, bukan syor inkues lain

ainulillia

 

Mahu tuduh orang lain atas kesalahan merusuh bukan isu utama

BANGI – Penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim di Parlimen baru-baru ini tidak dapat diterima. 

Pengerusi Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Hamzah sepatutnya memberi penjelasan berkenaan dapatan yang dibuat oleh Mahkamah Koroner. 

Katanya, Mahkamah Koroner telah menemukan fakta bahawa Allahyarham Muhammad Adib meninggal dunia kerana perbuatan jenayah.  

Koroner Rofiah Mohamad ketika membacakan keputusan itu pada 27 September tahun lalu berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian, boleh diterima serta ada asas.

Malah, keterangan itu juga disokong saksi ke-30 yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Rofiah ketika itu memaklumkan, pihaknya turut menolak teori dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dilanggar.

Katanya, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul di mana ia membabitkan kira-kira 20 hingga 30 lelaki.

“Maka, perkara inilah yang perlu diulas. Nak tuduh orang lain atas kesalahan merusuh bukan isunya. Membuat satu lagi inkues? Itu pun janggal,” katanya. 

Kelmarin, Hamzah ketika penggulungan peringkat kementerian berkata, kes kematian Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu, dengan disusuli beberapa cadangan.

Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (KK).

Seksyen itu berkaitan penyertaan dalam perhimpunan menyalahi undang-undang yang memperuntukkan hukuman sehingga enam bulan, denda atau kedua-duanya.

Cadangan lain yang turut dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

Tidak bersetuju dengan cadangan Hamzah, Zainul Rijal menyifatkan cadangan untuk membuka semula inkues nampak begitu janggal sekali. 

“Ia akan membuka pelbagai ruang lain jika tak setuju dengan satu inkues buat inkues lagi…. bila nak selesai? 

“Betulkah proses undang-undang dibuat dengan memulakan inkues baharu?,” soalnya. 

Sementara itu, keluarga Adib turut mempersoalkan mengapa suspek terbabit dengan kes kematian anaknya dituduh dengan pertuduhan lebih ringan.

Ayah Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid berkata, kerajaan perlu meneliti cadangan itu sebaik mungkin dalam usaha membela keadilan terhadap kematian anaknya.

“Saya ada tengok perkembangan cadangan itu, jadi kami hairan juga kenapa tuduhan semula itu dibuat dengan seksyen (peruntukan) lebih ringan, sebaliknya bukan dengan pendakwaan kerana membunuh?

“Saya akan berhubung dengan barisan peguam berhubung perkara ini,” katanya.

No comments: