Sunday, August 2, 2020

Kerajaan tingkat usaha perkukuh belia melalui Belanjawan 2021, kata Tengku Zafrul

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan menyedari
belia memerlukan sokongan yang dapat memberi peluang untuk berdikari serta
berjaya.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meningkatkan usaha untuk memperkukuh golongan belia supaya lebih berjaya, termasuk dari segi pendidikan menerusi Belanjawan 2021, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Belanjawan tersebut dijadual dibentangkan pada 6 November ini.

Menurutnya, selain menjadi penyumbang utama terhadap hala tuju pembangunan negara, belia juga merupakan kumpulan paling ramai membantu masyarakat yang terkesan ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Malah katanya, kerajaan juga menyedari bahawa belia memerlukan sokongan dari segi pendidikan awam yang baik serta ekonomi yang dapat memberi mereka peluang untuk berdikari serta berjaya.

Tengku Zafrul Abdul Aziz

“Peluang perlu disediakan untuk semua, sama ada yang berkelulusan akademik atau vokasional. Semua ini akan diperincikan semasa penyediaan Belanjawan 2021.

“Saya ingin menjemput seluruh rakyat termasuk belia untuk berkongsi idea dan cadangan yang boleh dipertimbangan untuk Belanjawan 2021 dan boleh di-e-melkan terus kepada kementerian di bt2021@treasury.gov.my,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Wawancara Felow Perdana bertajuk “Belia : Ekonomi & Masa Depan Negara” terbitan Kementerian Kewangan dengan kerjasama Bernama TV, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kementerian itu juga merancang untuk menyediakan platform bagi membolehkan golongan belia meningkatkan pengetahuan dalam pengurusan kewangan.

“Ilmu kewangan amat penting dalam menentukan hala tuju kehidupan masing-masing. Oleh itu, saya memang galakkan belia untuk menimba ilmu dalam bidang itu,” katanya.

No comments: