ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor melantik 27 pengerusi jawatankuasa penyelaras khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan semua dasar dan program dilaksanakannya sampai kepada masyarakat secara menyeluruh, kata menteri besar Hasni Mohammad hari ini.
Katanya, setakat ini hanya 25 lantikan dibuat terlebih dahulu sementara baki 2 lagi akan dibuat selepas calon yang sesuai dikenal pasti.
“Pelantikan penyelaras bagi kawasan DUN akan dapat membantu kerajaan memberikan segala penjelasan kepada masyarakat. Selain daripada tugas menyampaikan maklumat, mereka juga diberi peruntukan untuk menjayakan program lazim di peringkat masyarakat.
“Contohnya, jika berlaku banjir, kebakaran atau sebarang bentuk musibah, maka dengan adanya penyelaras ini bantuan dapat sampai dengan cepat dan tidak ada masyarakat terpinggir dan rasa dinafikan untuk terima bantuan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian watikah pelantikan pengerusi jawatankuasa khas DUN.
Beliau berkata, pengerusi jawatankuasa berkenaan juga akan bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan negeri bagi mendengar keluhan rakyat.
Katanya, lantikan dibuat berdasarkan pengalaman dan keupayaan mereka untuk memikul tanggungjawab yang diberikan memandangkan ketika ini negara berdepan ancaman Covid-19 dan ramai yang terjejas dari segi ekonomi dan pendapatan.
No comments:
Post a Comment