Sunday, August 2, 2020

Bantah Jawi: DAP tunjuk belang cabar ketetapan kerajaan Pahang

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar


Lebih 60 tahun merdeka masih terkongkong rasa cauvinis?

BANGI – Persatuan Lingustik Malaysia (PLM) menempelak tindakan ADUN DAP Pahang yang memfailkan permohonan mencabar ketetapan kerajaan Pahang mewajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.

Meskipun membawa isu berkenaan ke mahkamah pada fikiran sesetengah orang cara terbaik untuk menyelesaikan masalah, Timbalan Presiden PLM, Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, tindakan itu jelas menunjukkan belang sebenar DAP terhadap sesuatu yang berunsur Melayu akan dibangkang habis-habisan.

“Apatah lagi pada anggapan mereka tiada apa-apa keuntungan menggunakan tulisan Jawi malah mungkin menambah seringgit dua bagi kos penyediaan papan iklan.

“Tulisan Jawi diguna meluas di Kelantan dan juga negeri lain seperti Kedah oleh premis niaga termasuk milik orang Cina sendiri sejak sekian lama.

“Tidak pun menjadi isu sebelum ini. Adakah udang di sebalik batu, atau ada pihak yang ingin menangguk di air yang keruh?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ironinya, kata beliau, selama ini DAP tidak pernah membantah tulisan Jawi digunakan oleh syarikat milik orang Cina atau bukan muslim pada produk mereka seperti minyak masak, makanan dan lain-lain.

“Malah produk itu juga menggunakan nama berunsur Melayu atau Islam dengan terang dan jelasnya. Ketara sekali sikap opportunis yang mungkin dihayati oleh pihak berkenaan.

“Apa-apa sahaja yang menguntungkan, demi wang ringgit akan tetap dan terus digunakan walau apapun gambarannya, sama ada mengelirukan atau lain-lain.

“Setelah lebih 60 tahun merdeka, adakah fikiran yang berkenaan masih lagi terkongkong dengan rasa cauvinis, perkauman dan seumpamanya?,” soalnya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan untuk tidak menambahkan lagi masalah yang tidak sepatutnya kerana banyak lagi isu perlu ditangani kerajaan seperti masalah ekonomi serta pandemik COVID-19.

“Tidakkah anda berasa bertuah yang anda tidak hidup di negara lain yang tidak akan memberi segalanya yang telah anda dapat di negara ini?

“Jikapun anda tidak tahu bersyukur dan tidak akan pernah berasa puas hati akan nikmat yang amat banyak di negara ini, berterima kasihlah kepada kerajaan dan rakyat di sini yang tidak menghalang untuk anda hidup dengan aman, makmur dan menjadi kaya dengan hasil-mahsul di negara ini,” kata beliau.

Sebelum ini, ADUN Tras, Chow Yu Hui memfailkan permohonan mencabar ketetapan kerajaan Pahang untuk mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.

Permohonan itu dibuat 30 Julai lalu di Mahkamah Tinggi Kuantan bagi menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan berhubung perkara itu, sebelum ini.

Kerajaan negeri memutuskan semua premis perniagaan dan papan tanda jalan di negeri itu menggunakan tulisan Jawi berkuatkuasa sejak 1 Januari lalu.

Penggunaan tulisan Jawi adalah selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Pahang supaya tulisan berkenaan diperkasakan di negeri berkenaan.

No comments: