Seekor buaya dipercayai membaham seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, Ahad lalu, di sungai Batang Belawai, dekat Tanjung Manis, kira-kira 464 kilometer dari sini, berjaya ditangkap oleh Unit Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT), pada Jumaat.
Buaya berukuran 4.7 meter dengan lebar 1.7 meter itu ditangkap menggunakan umpan bangkai ayam kira-kira tiga kilometer dari jeti dan berdekatan lokasi mangsa dilaporkan hilang ketika mencari siput di sungai berkenaan.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata buaya yang ditangkap pada jam 9.15 pagi itu telah dibawa ke Rumah Dadat bagi proses mendapatkan bukti sebelum bedah siasat disaksikan oleh pegawai polis, keluarga mangsa dan penduduk kampung.
“Hasil bedah siasat itu menemukan baju serta beberapa bahagian anggota badan manusia di dalam perut buaya berkenaan,” katanya, sambil menambah umpan itu dipasang oleh SWAT dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan polis.
Dalam kejadian 26 Julai lalu, mangsa, Ricky Ganya telah dilaporkan disambar buaya ketika sedang mencari siput bersama dua rakan sebayanya dengan ditemani ibu saudaranya yang menyaksikan reptilia itu menarik mangsa ke dalam air.
Tiga hari sebelum itu, seorang penduduk rumah panjang disambar seekor buaya di Sungai Seduku, anak sungai Batang Lupar dekat Rumah Panjang Tuntun, Sri Aman.
Dalam kejadian itu, mangsa Kong Gindi, 47, dipercayai telah disambar seekor buaya ganas ketika dia dan rakannya dikenali Saji Thomas, 52, sedang mencuci perahu di sungai berkenaan.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment