Selasa, 7 April 2020

Polis: Kematian tahanan lokap IPD Bentong bukan disebabkan Covid-19

MALAYSIAKINI

Malaysiakini
Tahanan yang meninggal dunia baru-baru ini di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong tidak dijangkiti koronavirus Covid-19, kata Polis Daerah Bentong.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong Yusof Unis, perkara itu diketahui selepas mayat lelaki berusia 30 tahun itu dihantar ke Hospital Bentong untuk menjalani ujian Covid-19.

Mangsa yang ditahan pada 2 April lalu atas kesalahan mencuri, meninggal dunia pada pagi 5 April selepas dilaporkan mengalami sesak nafas.

"Mayat mangsa dihantar ke hospital Bentong untuk ujian Covid-19 dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak dijangkiti Covid-19," kata Yusof kepada Malaysiakini. 

Bedah siasat yang dijalankan pada 6 April tidak dapat menentukan punca kematian dan polis sedang menunggu keputusan dari makmal kimia, serta hasil analisis sampel tisu badan oleh pakar patologi.

Bedah siasat dijalankan oleh jabatan forensik di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut pada masa itu, sementara menunggu keputusan ujian.

Dilaporkan anggota polis bertugas mendapati mangsa mengalami kesukaran bernafas pada kira-kira jam 12.50 malam pada Ahad sebelum memanggil ambulans.

Bagaimanapun, lelaki itu didapati meninggal dunia ketika ambulans tiba dan disahkan meninggal dunia pada jam 1.10 pagi.

NGO hak asasi manusia, Suaram berkata kematian itu menimbulkan persoalan bagaimana tahanan itu dilayan oleh pihak polis dan menggesa inkues dijalankan.

Tiada ulasan: